PEMAIN skuad negara meraikan kemenangan ke atas Vietnam untuk mara ke final Kejuaraan B-19 AFF, hari ini. FOTO FB FAM
PEMAIN skuad negara meraikan kemenangan ke atas Vietnam untuk mara ke final Kejuaraan B-19 AFF, hari ini. FOTO FB FAM
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Skuad bawah 19 (B-19) mengulangi pencapaian edisi Kejuaraan B-19 AFF sebelum ini apabila melangkah ke pentas final selepas menewaskan Vietnam 3-0 di separuh akhir, hari ini.

Ini adalah final keempat berturut-turut buat Harimau Muda sejak edisi 2017, namun mereka hanya berjaya menjulang kejuaraan pada edisi 2018 yang ketika itu turut berlangsung di Indonesia.

Pada aksi di Stadium Patriot Candrabhaga, Indonesia, petang ini, skuad bimbingan Hassan Sazali Waras mendahului menerusi percubaan lencong Adam Farhan Faizal pada minit ke-26 menewaskan Cao Van Binh.

Tersentak dengan gol itu, Vietnam menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan namun keputusan semasa kekal Malaysia mendahului 1-0 selepas berakhir babak pertama.

Awal separuh masa kedua menyaksikan Vietnam terus memberikan tekanan dan memperoleh beberapa peluang terbaik, tetapi semuanya gagal disempurnakan dengan baik.

Gawang Malaysia cemas pada minit ke-54 apabila tandukan Nguyen Anh Tu terkena tiang disusuli satu lagi percubaan pada minit ke-57 daripada Vietnam, namun ditutup dengan kemas oleh pertahanan negara.

Ketika Vietnam leka menyerang kubu skuad negara, Harimau Muda mengukuhkan kedudukan apabila hantaran Haqimi Azim Rosli ditampan Haiqal Haqeemi Hairi untuk menewaskan Van Binh buat kali kedua pada minit ke-70.

Skuad negara terus mengukuhkan kedudukan apabila Haykal Danish menjaringkan gol ketiga menerusi gerakan solo berpunca kesilapan pertahanan Vietnam yang tergelincir pada minit ke-87.

Menanti mereka di final Jumaat ini sama ada juara lima kali, Thailand atau Laos yang akan membuat perhitungan di venue sama, 9 malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 6:47 PM