AKSI pemain negara cuba dikekang pemain Vietnam. FOTO FAM
AKSI pemain negara cuba dikekang pemain Vietnam. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kesungguhan dan disiplin tinggi antara rencah kejayaan yang memandu skuad bawah 19 (B-19) tahun negara berjaya menumbangkan pasukan pilihan Vietnam dalam aksi separuh akhir Kejuaraan AFF B-19 di Indonesia, semalam.

Pengurus skuad B-19, Mohd Joehari Ayub berkata, anak didik Hassan Sazali Waras mengikut segala perancangan diatur meskipun mengakui Vietnam bukanlah lawan mudah.

"Pada separuh akhir semalam, pemain bermain penuh kesungguhan, mempamerkan disiplin amat tinggi serta mengikut taktikal dirancang oleh barisan kejurulatihan.

"Alhamdulillah, mereka berjaya menewaskan pasukan pilihan kejohanan iaitu Vietnam dengan jaringan 3-0. Tahniah sekali lagi kepada semua," katanya.

Dalam aksi di Stadium Patriot Candrabhaga, Bekasi itu, skuad Harimau Muda meraih tiga gol menerusi Adam Farhan Faizal pada minit ke-26 disusuli Haiqal Haqeemi Hairi (m-70) dan Haykal Danish (m-87).

Ujar Joehari yang juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu lagi, perjalanan pasukan negara masih belum terhenti dan beliau mahu pemain menyelesaikannya di perlawanan akhir apabila bertemu Laos malam esok.

"Kami masih ada lagi satu misi perlu diselesaikan pada aksi final menentang Laos pada Jumaat. Berkat sokongan dan doa rakyat Malaysia, InsyaAllah ia akan mengiringi kejayaan pasukan ini. Demi Malaysia! Demi lencana di dada!," katanya.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia muncul juara pada 2018 lalu selepas membenam Myanmar dalam aksi akhir dengan keputusan 4-3 yang dibimbing Bojan Hodak ketika itu.

Malah, aksi final menentang Laos juga boleh disifatkan sebagai misi balas dendam selepas skuad negara tewas 0-1 kepada lawan sama dalam aksi peringkat Kumpulan B sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 12:11 PM