GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

HAMPIR 300 kilogram (kg) pil methamphetamine dirampas di tengah Vietnam, hari ini, rampasan kedua terbesar di negara itu, kata polis.

Walaupun Vietnam mengamalkan undang-undang dadah paling ketat di dunia, negara itu tetap menjadi persinggahan pengangkutan popular dan destinasi pasaran dadah yang diseludup melalui ‘Segi Tiga Emas’ Laos, Myanmar dan Thailand.

Menurut laporan, rampasan terbaru itu berlaku di wilayah Ha Tinh apabila polis, pasukan pertahanan sempadan dan kastam menemui dadah di dalam sebuah van dengan nombor pendaftaran Laos, kira-kira jam 1 pagi, hari ini.

Seorang suspek warga Laos ditahan ketika serbuan, kata polis.

“Seorang lagi suspek lelaki berjaya melarikan diri disebabkan cuaca gelap, bentuk muka bumi yang berbahaya dan kabus tebal,” kata laporan itu.

Oktober tahun lalu, polis menemui 309 kg methamphitamine bernilai AS$3 juta (RM12.2 juta) selepas menahan sebuah trak di wilayah Quang Binh.

Mana-mana individu sekiranya ditangkap dengan heroin melebihi 600 gram boleh dihukum mati.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 11:42 PM