AKSI pemain skuad negara (jersi kuning hitam) ketika menewaskan Vietnam 3-0 di separuh akhir Kejuaraan AFF Bawah 19 (B-19) tahun, semalam. FOTO FB FAM
AKSI pemain skuad negara (jersi kuning hitam) ketika menewaskan Vietnam 3-0 di separuh akhir Kejuaraan AFF Bawah 19 (B-19) tahun, semalam. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pentas final Kejuaraan AFF Bawah 19 (B-19) tahun di Bekasi, Indonesia bakal membawa kepada misi serampang dua mata buat skuad muda negara apabila bertemu Laos di Stadium Patriot Candrabhaga, malam esok.

Kekalahan 0-1 kepada lawan sama di peringkat Kumpulan B sebelum ini selain kekalahan 0-1 kepada Australia dalam aksi final pada edisi 2019 lalu pastinya membakar semangat skuad kendalian Hassan Sazali Waras untuk menebus dua kedukaan itu.

Jelas Hassan, pemain negara bakal turun dengan motivasi tinggi di perlawanan akhir itu nanti dan mengakui sudah bersedia mengulangi pencapaian muncul juara kejohanan pada 2018.

"Semua pasukan inginkan kemenangan, termasuk Malaysia. Bila kita dah layak ke final, ia adalah peringkat sangat sengit dan pemain bersemangat membuktikan kualiti mereka.

"Kami bersedia bermain dengan mana-mana pasukan di final nanti," katanya sejurus Malaysia menewaskan Vietnam 3-0 di separuh akhir, semalam.

Skuad negara menghantar skuad Naga Emas itu pulang menerusi jaringan Adam Farhan Faizal pada minit ke-26, diikuti Haiqal Haqeemi Hairi (m-70) dan Haykal Danish (m-87).

Selain muncul juara pada 2018 dengan menundukkan Myanmar 4-3 di pentas final yang kebetulan turut berlangsung di bumi Indonesia, Malaysia sudah dua kali bergelar naib juara dalam tempoh lima tahun lalu.

Pada edisi 2017 di Myanmar, skuad negara tumbang 0-2 kepada Thailand diikuti tewas tipis 0-1 di tangan Australia pada saingan 2019 di Vietnam.

Ini bermakna, kejayaan mara ke final ini adalah yang keempat berturut-turut sejak 2017, sekali gus berpeluang mendakap trofi kedua sepanjang penyertaan di saingan itu yang bermula sejak 2002.

Mengulas kemenangan ke atas Vietnam itu, Hassan mengakui beliau memilih taktikal serangan balas sebagai senjata utama untuk mengenepikan pasukan pilihan kejohanan itu.

Katanya, anak buahnya bermain secara bertahan sebelum mengintai peluang melakukan serangan balas dan ternyaata strategi itu berhasil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 6:00 PM