FAIZ Amer (kanan) meraikan jaringan pembukaan bersama rakan sepasukan. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
FAIZ Amer (kanan) meraikan jaringan pembukaan bersama rakan sepasukan. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad bawah 19 (B-19) tahun negara mencipta sensasi di bumi Jakarta apabila menjulang Kejuaraan AFF B-19 selepas menewaskan Laos 2-0 di final yang berlangsung di Stadium Patriot Candrabhaga, Indonesia malam tadi.

Kejayaan itu adalah kedua selepas turut muncul juara pada 2018 yang mana secara kebetulan ia turut berlangsung di bumi Indonesia.

Malah, anak buah Hassan Sazali Waras juga berjaya membalas dendam ke atas lawan sama di mana skuad Harimau Muda negara tewas 0-1 di peringkat kumpulan sebelum ini.

Namun aksi menakjubkan diperagakan pasukan seperti mana yang dilakukan ketika membenam Vietnam di separuh akhir Rabu lalu.

Skuad negara meraih gol pertama menerusi Faiz Amer Runnizar di minit 14 selepas tonggak pertahanan itu bijak menghidu bola sepakan percuma yang diambil Adam Farhan.

Jaringan itu nyata menyemarakkan semangat pemain negara yang terus melancarkan serangan demi serangan dengan beberapa percubaan selepas itu mengucar kacirkan benteng lawan.

Memasuki babak kedua, Laos yang menundukkan Thailand di separuh akhir cuba memperkemaskan aksi namun pertahanan negara ampuh bertahan.

Ketika anak buah Michael Weiss hebat mengasak, Malaysia menambah gol kedua di minit 77 menerusi Aliff Izwan yang menerpa dengan cantik hantaran rakan sepasukannya sekali gus kekal hingga wisel penamat.

Pada final 2018 lalu, skuad negara menang 4-3 ke atas Myanmar sebelum tumbang 0-1 kepada Australia di pentas sama tiga tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 11:12 PM