BERGSON Da Silva (tengah) cuba melepasi pemain Hougang United FC, Anders Aplin pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim, hari ini. FOTO ihsan Johor Southern Tigers
BERGSON Da Silva (tengah) cuba melepasi pemain Hougang United FC, Anders Aplin pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim, hari ini. FOTO ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak berdepan masalah untuk membelasah Hougang United FC dari Singapura 8-0 pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim, hari ini.

Ia adalah aksi pemanas badan berstatus antarabangsa bagi persiapan skuad kendalian Benjamin Mora untuk berdepan kelab Liga 1 Jepun (J1 League), Urawa Red Diamonds di pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada 18 Ogos ini.

Tanpa beberapa pemain yang bersama skuad Harimau Malaya mengharungi kempen Kumpulan E Kelayakan Piala Asia, Mora tampak mempertaruhkan barisan pemain simpanan bagi menguji prestasi masing-masing selain memastikan pemain meraih minit permainan.

Berpunca daripada bola lorongan Leandro Velazquez pada minit ke-24, Bergson Da Silva memperdayakan benteng pasukan pelawat sebelum merembat bola leret menewaskan penjaga gol, M Mukundan untuk meletak JDT mendahului 1-0.

JDT terus berada di hadapan pada minit ke-34 apabila bola sepakan percuma Velazquez dari jarak 20 meter tepat ke penjuru kanan gawang dan menewaskan Mukundan.

Selang dua minit, Ahmad Hazwan merembat bola leret menewaskan Mukundan untuk meletak tuan rumah selesa dengan kedudukan 3-0.

Bersambung babak kedua, skuad Harimau Selatan menambah derita anak didik Clement Teo selepas Ramadhan Saifullah merembat bola leret menewaskan penjaga gol gantian, Aizal Yazid.

Manakala pemain gantian Fernando Rodriguez mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-58 apabila menewaskan Aizal hasil umpanan Ahmad Hazwan untuk meletak tuan rumah selesa dengan kedudukan 5-0.

Rodriguez mencetak gol kedua peribadi bagi memastikan JDT selesa dengan jaringan 6-0 apabila mudah merembat bola leret menewaskan penjaga gol gantian, Zainol Gulam yang gagal menyelamat bola menerjah jaring.

Ramadhan turut menjaringkan gol pada minitb ke-75 dan Ailif Mutalib pada minit ke-81 bagi melengkap kemenangan bergaya JDT pada aksi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 8:55 PM