GAYA Velazquez meraikan jaringan pertama JDT. FOTO Johor Southern Tigers
GAYA Velazquez meraikan jaringan pertama JDT. FOTO Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) dipaksa bermandi peluh sebelum menewaskan Penang FC 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.

Pada pertembungan juara Liga Super berdepan juara Liga Perdana musim lalu, pengendali JDT, Benjamin Mora mempertaruhkan barisan sama dan mengekalkan formasi 4-3-3 ketika menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 2-0 , Jumaat lalu.

Percaturan pengendali kelahiran Mexico itu hampir membuahkan hasil pada minit ke-15 selepas Safawi Rasid yang menerima hantaran Leandro Velazquez meledak rembatan namun sedikit tersasar.

Malang buat pertahanan JDT, Mauricio Dos Santos yang terpaksa dikeluarkan pada minit ke-22 selepas bertembung dengan pemain Penang FC ketika perebutan bola di udara dan Adam Nor Azlin dimasukkan untuk bergandingan bersama kapten Aidil Zafuan Abd Radzak.

Berakhir babak pertama tampak seimbang apabila kedua-dua pasukan buntu mencipta serangan berbahaya tatkala permainan kerap berlegar di kawasan tengah dengan skuad kendalian Tomas Trucha pantas mematikan gerakan barisan pemain tengah tuan rumah yang dterajui Velazquez, Natxo Insa dan Afiq Fazail.

Tuan rumah hampir mendahului pada minit ke-47 selepas bola lorongan Corbin Ong gagal disudahkan Fernando Rodriguez yang hanya berdepan penjaga gol pelawat, Samuel Somerville.

Pelawat memiliki peluang terbaik pada minit ke-52 selepas hantaran lintang Casagrande tepat kepada Endrik Dos Santos yang merembat kencang di dalam kotak penalti namun tepat ke dakapan penjaga gol, Farizal Marlias.

Tindakan Somerville yang sengaja mengasari Gonzalo Cabrera di dalam kotak penalti mengundang padah selepas pengadil, S Logeswaran tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-80 dan Velazquez mudah menyepak masuk.

Ketika aksi berbaki lima minit, berpunca daripada lorongan pemain gantian, Safiq Rahim membuka ruang buat Rodriguez menolak bola masuk menewaskan Somerville sekali gus memastikan kemenangan 2-0 memihak tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 11:16 PM