DIOGO (kanan) menjaringkan gol pertama menewaskan penjaga gol, Kai Yamamoto (kiri) pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim, petang tadi. FOTO Johor Southern Tigers
DIOGO (kanan) menjaringkan gol pertama menewaskan penjaga gol, Kai Yamamoto (kiri) pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim, petang tadi. FOTO Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) mudah menjinakkan juara Liga Singapura (Liga S) musim 2022 yang juga pendahulu liga musim ini Albirex Niigata FC 5-1 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 2 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, petang tadi.

Aksi pemanas badan sebelum skuad kendalian Esteban Solari menentang Selangor FC pada separuh akhir Piala FA, 26 Jun ini memberi pendedahan terbaik tatkala barisan pemain Harimau Selatan berdepan dengan barisan pemain Albirex Niigata yang rata-ratanya berpengalaman beraksi di pentas Liga 1 Jepun (Liga J1) dan ada beberapa pemain pernah mewakili pasukan kebangsaan Jepun.

Serangan awal JDT bermula pada minit keempat apabila bola gerakan Fernando Forestieri melorongkan bola kepada Diogo Luis Santo yang bertindak merembat bola leret namun penjaga gol pelawat, Kai Yamamoto sempat merebahkan untuk menangkap bola kemas.

Skuad kendalian Kazuaki Yoshinaga mula memberi tekanan terhadap benteng JDT pada minit ke-15 apabila Riku Fukashiro merembat bola leret dari luar kotak penalti tapi penjaga gol, Farizal Marlias sudah bersedia untuk menangkap bola kemas.

Bagaimanapun Harimau Selatan berjaya merungkai jaringan pada minit ke-18 berpunca daripada bola sepakan lintang Mahamadou Sumareh tepat kepada Diogo yang menanduk menuju ke arah sudut kanan gawang menyaksikan Yamamato terpaku melihat bola menerjah jaring.

Giliran Diogo pula menjadi penggerak jaringan kedua selepas menjaringkan gol pertama apabila memastikan Forestieri mencetak gol pada minit ke-27 menerusi bola lorongan membuka ruang buat penjaring terbanyak Liga Super itu merembat bola leret tepat ke penjuru kanan menewaskan Yamamato pada minit ke-27.

Bersambung babak kedua, anak didik Yoshinaga hampir merapatkan jurang gol pada minit ke-47 selepas Seia Kunori berjaya memperdayakan Shane Lowry namun Adam Nor Azlin yang bertindak pantas menghalang bola rembatan pemain kelab dari Jepun itu.

JDT terus memadam sisa perjuangan Albirex Niigata FC pada minit ke-52 selepas tindakan pemain gantian Bergson Da Silva yang merampas bola daripada pemain pertahanan membolehkan pemain gantian Nazmi Faiz Mansor melakukan sepakan lencong tepat ke penjuru kanan gawang untuk meletak kedudukan Harimau Selatan selesa jaringan 3-0.

Tindakan Ahmad Asyar Hadi Mohd Shapri yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya memyudahkan tugas Kunori merembat bola leret pada mnit ke-62 menewaskan penjaga gol gantian, Haziq Nadzli

Bagaimanapun, JDT tidak menunggu lama untuk menghukum benteng pasukan lawan pada minit ke-64 selepas bola sepakan lintang Ahmad Hazwan Bakiri tepat kepada Bergson yang menanduk bola masuk untuk meletak kedudukan 4-1.

Ahmad Asyar Hadi menebus kesilapan awal yang dilakukannya apabila mencipta gol pada minit ke-68 apabila menanduk bola berpunca daripada sepakan lintang Nazmi Faiz dan jaringan pemain Johor Darul Ta'zim II (JDT II) itu memberi keselesaan buat JDT mendahului 5-1 dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 8:10 PM