PEMAIN Perak, Rafiuddin Roddin  mengelak asakan pemain JDT,  Mauricio Dos Santos. FOTO Bernama
PEMAIN Perak, Rafiuddin Roddin mengelak asakan pemain JDT, Mauricio Dos Santos. FOTO Bernama
Rizar Mohd Noor


JOHOR Darul Ta'zim (JDT) mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu Liga Super selepas membaham Perak 7-0 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.

Kegarangan skuad Harimau Selatan yang kembali beraksi di gelanggang keramat Stadium Sultan Ibrahim terserlah seawal minit kedua menerusi rembatan leret Leandro Velazquez namun ditangkap kemas Nasrullah Abdul Aziz.

Disusuli pada minit ke-19, tandukan kapten JDT, Aidil Zafuan Abd Radzak yang menerima bola sepakan sudut Velazquez sekadar melewati palang gol.

Serangan berterusan tuan rumah akhirnya gagal dikekang benteng pelawat pada minit ke-22 apabila bola bergolek tepat ke kaki Afiq Fazail dan mudah untuknya melencong tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan Nasrullah.

Pelawat berpeluang menyamakan jaringan pada minit ke-27 namun sepakan percuma Chanthacheary Bin dari jarak 25 meter sekadar terkena benteng tuan rumah.

Tuan rumah menambah derita anak didik Mehmet Durakovic apabila mencipta gol kedua selepas bola umpanan Velazquez di dalam kotak penalti membuka ruang buat Gonzalo Cabrera merembat bola tepat ke penjuru kanan untuk meletak kedudukan selesa 2-0.

Gol ketiga tuan rumah bagaikan menamat sisa perjuangan pelawat apabila Cabrera mencetak gol kedua peribadi selepas mudah menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-44 berpunca daripada kesilapan Rafiuddin Roddin mengasari Diogo Luis Santo di dalam kotak penalti.

Pemain meningkat naik , Ramadhan Saiffullah Usman ternyata berada di dalam kelas tersendiri apabila menjaringkan gol pada minit akhir babak pertama selepas melakukan voli di luar kotak penalti memerangkap Nasrullah yang sekadar melihat bola menerjah jaring.

Bersambung babak kedua, Cabrera melakar hatrik pertama buat dirinya dalam saingan liga apabila menjaringkan gol pada mint ke-63 selepas menyudahkan hantaran Ramadhan untuk meletak tuan rumah selesa dengan jaringan 5-0.

Pemain gantian, Safawi Rasid yang masuk menggantikan Ramadhan turut mencipta jaringan pada minit ke-78 selepas bertindak secara solo dan sempat mengelirukan Nasrullah sebelum merembat leret ke gawang yang terbuka luas dan Akhyar Rashid turut mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-84 melengkapkan kemenangan besar 7-0 ke atas Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2020 @ 11:05 PM