SAFAWI meraikan jaringan gol dalam perlawanan JDT menentang UITM FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
SAFAWI meraikan jaringan gol dalam perlawanan JDT menentang UITM FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) terpaksa berhempas pulas sebelum melakar kemenangan menewaskan UiTM FC 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan JDT menjarakkan mata dan kekal di tangga teratas liga selepas mengumpul 33 mata tatkala diekori rapat Terengganu FC (TFC) yang berada di tangga kedua selepas mengutip 30 mata.

Sepanjang 15 minit babak pertama, penguasaan jelas milik anak didik Benjamin Mora yang tampak berusaha memburu gol awal tapi corak permainan kompak di kawasan sendiri yang dipratikkan skuad The Lion Troops menyukarkan barisan serangan tuan rumah memecah kebuntuan.

Hanya pada minit ke- 28, tuan rumah mengundang cemas di gawang pelawat selepas Ariff Aiman Hanafi yang menyusup masuk ke dalam kotak penalti bertindak merembat bola kencang tapi penjaga gol, Zamir Selamat bersedia menepis bola.

Walaupun sering diasak, pelawat bijak mengambil kesempatan daripada kelekaan benteng pertahanan tuan rumah pada minit ke-42 apabila bola umpanan Kwon Yong-hyun membuka ruang buat Joel Vinicius merembat bola leret yang memerangkap penjaga gol, Farizal Marlias untuk meletak UiTM FC mendahului 1-0.

Apa yang disajikan JDT pada babak pertama tampak kurang kreativiti untuk memecah kekebalan benteng skuad kendalian Frank Bernhardt yang begitu berdisiplin menghalang gerakan berbahaya terutama percubaan Bergson Da Silva yang mudah dipatahkan.

Bersambung babak kedua, JDT tidak menunggu lama untuk bangkit menyamakan jaringan pada minit ke-49 selepas bola sepakan lintang Ariff Aiman membolehkan Gonzalo Cabrera yang berada di posisi terbaik di dalam kotak penalti merembat kencang menewaskan Zamir bagi mengikat kedudukan 1-1.

Perubahan taktikal yang dilakukan Mora tatkala memasukkan Safawi Rasid membuahkan hasil selepas pemain itu mengambil kesempatan daripada kekalutan yang berlaku di dalam kotak penalti lawan pada minit ke-72 apabila pantas merembat bola leret tepat ke penjuru kanan menewaskan Zamir.

Bergson yang agak lama tidak menjaringkan gol akhirnya berjaya mencipta jaringan pada minit ke-87 selepas menolak bola mudah menewaskan Zamir berpunca daripada bola umpanan pemain gantian, Akhyar Rashid dan kedudukan 3-1 yang memihak JDT kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 11:06 PM