AKSI Azam (kanan) ketika bertemu Hong Kong. FOTO Aswadi Alias
AKSI Azam (kanan) ketika bertemu Hong Kong. FOTO Aswadi Alias
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Peluang skuad Harimau Malaya untuk layak ke Piala Asia 2023 cerah jika barisan pemain mengekalkan corak permainan seperti dipamerkan pada dua aksi perlawanan persahabatan menentang Brunei dan Hong Kong baru-baru ini.

Tonggak Harimau Malaya, Nor Azam Azih berkata, keyakinan dan semangat pemain ketika ini cukup membara terutama mahu membawa pulang kejayaan positif pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 yang akan membuka tirai 8 Jun ini.

Azam yang juga tonggak utama Seri Pahang FC berkata, latihan berintensiti tinggi diterapkan pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon ketika ini turut memberi kesan kepada corak permainan barisan pemain supaya tampil lebih menyakinkan kelak.

"Kalau kita tampilkan permainan yang sama seperti kedua-dua perlawanan persahabatan ini, saya lihat kita mempunyai peluang cerah untuk ke Piala Asia tahun depan.

"Saya lihat para pemain juga bermain dengan keyakinan yang tinggi atas padang sekali gus tiada untuk mengharungi perlawanan pada kelayakan Piala Asia 2023.

"Setakat ini, corak latihan berintisiti tinggi diterapkan jurulatih boleh saya ikuti sekali gus meningkat prestasi ketika beraksi di padang," katanya.

Terdahulu, skuad Harimau Malaya mencatat dua kemenangan pada perlawanan persahabatan apabila membenam Brunei 4-0 sebelum menundukkan Hong Kong 2-0 dalam perlawanan persahabatan Antarabangsa Tier 1 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Perlawanan persahabatan terbabit penting dalam rangka persiapan skuad Harimau Malaya bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2023 yang bermula Rabu depan.

Skuad Harimau Malaya yang diletakkan dalam Kumpulan E mengharungi perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 menentang Turkmenistan pada 8 Jun, Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 2:44 PM