RONALDO dan rakan sepasukan menjalani latihan  di Oeiras,  Lisbon semalam.
RONALDO dan rakan sepasukan menjalani latihan di Oeiras, Lisbon semalam.
Agensi

Lisbon: Cristiano Ronaldo tersenarai dalam skuad Portugal untuk perlawanan pertama menentang Sepanyol dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA di Stadium Benito Villamarin di Seville, awal pagi Jumaat.

Bintang berusia 37 tahun itu terlepas aksi terakhir Manchester United dalam kempen Liga Perdana musim 2021-22 akibat kecederaan tetapi kini sedia menggalas misi negaranya dalam mengharungi cabaran Kumpulan B yang turut mengandungi Switzerland dan Republik Czech.

Selepas menentang Sepanyol, Portugal melayan kunjungan Switzerland pada 5 Jun dan berdepan Republik Czech 9 Jun sebelum menentang Switzerland sekali lagi pada 12 Jun.

Skuad Fernando Santos menempah tiket ke pusingan akhir Piala Dunia 2022 selepas menewaskan Macedonia Utara dalam aksi playoff pada penghujung Mac dengan Bruno Fernandes meledak dua gol di Porto.

Selecao kini menumpukan perhatian kepada permulaan kempen Liga Negara-Negara UEFA dan mereka bertekad mempamerkan aksi terbaik menentang Sepanyol.

Ronaldo menjaringkan 24 gol dan mencipta tiga bantuan jaringan dalam 38 penampilan untuk Man Utd sepanjang kempen 2021-22 manakala meledak 115 gol dalam 186 aksi bersama Portugal.

Pemain RB Leipzig, Andre Silva dan pemain AC Milan, Rafael Leao berharap dapat diberi peluang beraksi untuk mempamerkan kemampuan manakala pemain Braga, Ricardo Horta turut tersenarai dalam skuad Selecao.

Beberapa pemain daripada Liga Perdana turut berada dalam skuad termasuk trio Wolverhampton Wanderers Jose Sa, Ruben Neves dan Joao Moutinho.Dua bintang Manchester City, Joao Cancelo dan Bernardo Silva tersenarai namun Ruben Dias tersisih akibat kecederaan pada penghujung kempen 2021-22.

Khidmat Bruno Fernandes tetap ditagih. Pemain berusia 27 tahun itu meledak 10 gol dan mencipta 14 bantuan jaringan dalam 46 penampilan bersama Man United musim lalu.

Diogo Dalot yang beraksi bersama Ronaldo dan Fernandes di Old Trafford mengekalkan tempat dalam skuad dengan pemain pertahanan itu menjadi tonggak Red Devils sejak pertengahan musim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 10:25 PM