RONALDO (kanan) ketika menentang Uruguay pada pusingan kedua Piala Dunia tahun lalu. — FOTO Agensi
RONALDO (kanan) ketika menentang Uruguay pada pusingan kedua Piala Dunia tahun lalu. — FOTO Agensi
AFP

CRISTIANO Ronaldo dinamakan dalam skuad juara bertahan Euro, Portugal hari ini sembilan bulan selepas aksi antarabangsa terakhirnya pada Piala Dunia 2018 di Russia.

Dengan kelayakan Euro 2020 menentang Ukraine dan Serbia menanti, jurulatih Fernando Santos memanggil semula Ronaldo, yang menjaringkan 85 gol dalam 154 penampilan antarabangsa.

Dia direhatkan bagi enam aksi terakhir Portugal ketika dia menyesuaikan diri di kelab baru Juventus, yang mana pemain berusia 34 tahun itu melenyapkan pengkritik dengan gol dan hatrik ketika Juve menang 3-2 ke atas Atletico Madrid secara agregat pada pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

“Selepas Piala Dunia saya memerlukan rehat untuk menyesuaikan diri di Juventus,” katanya selepas mengatasi Atletico.

“Dalam perlawanan berikutnya saya harap mampu memberi sumbangan kepada pasukan kebangsaan. Saya juga merinduinya,” kata Ronaldo kepada DAZN.

Ketika ketiadaannya Portugal mengungguli kumpulan mereka pada Liga Negara Eropah di depan Itali dan Poland serta layak ke separuh akhir kejohanan sulung itu di Portugal, Jun ini.

Ronaldo, pemain terbaik dunia lima kali, memberikan sumbangan besar kepada Portugal dalam laluan memenangi Euro 2016 di Perancis dan dia turut mencetus inspirasi pada Piala Dunia, meledak empat gol termasuk hatrik menentang Sepanyol dalam laluan ke pusingan 16 terakhir.

Portugal melayan kunjungan Ukraine bagi aksi pembukaan kelayakan Euro 2020 Jumaat depan dan kemudian menentang Serbia di laman sendiri Isnin berikutnya.

SKUAD PORTUGAL

Penjaga gol: Beto (Goztepe/TUR), Jose Sa (Olympiakos/GRE), Rui Patricio (Wolves/ENG).

Pertahanan: Joao Cancelo (Juventus/ITA), Jose Fonte (Lille/FRA), Pepe (FC Porto), Mario Rui (Napoli/ITA), Nelson Semedo (Barcelona/ESP), Raphael Guerreiro (Borussia Dortmund/GER), Ruben Dias (Benfica).

Tengah: Bruno Fernandes (Sporting Lisbon), Danilo Pereira (FC Porto), Joao Moutinho (Wolves/ENG), Joao Mario (Inter Milan/ITA), Pizzi (Benfica), Ruben Neves (Wolves/ENG), William Carvalho (Real Betis/ESP).

Penyerang: Andre Silva (Sevilla/ESP), Bernardo Silva (Man City/ENG), Goncalo Guedes (Valencia/ESP), Rafa Silva (Benfica), Joao Felix (Benfica), Dyego Sousa (Sporting Braga), Diogo Jota (Wolves/ENG), Cristiano Ronaldo (Juventus/ITA).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 10:56 PM