AFP

Lisbon: Cristiano Ronaldo menyertai sesi latihan skuad kebangsaan Portugal semalam menjelang kepulangan sensasinya ke Manchester United.

Dia berlatih bersama Bruno Fernandes, rakan sepasukan baharunya di Old Trafford dan juga bakal 'musuhnya' yang beraksi di Manchester City iaitu Bernardo Silva, Joao Cancelo dan Ruben Dias.

Ronaldo, 36, berpeluang memecahkan rekod jaringan terbanyak antarabangsa milik penyerang Iran, Ali Daei dengan 109 gol pada kelayakan Piala Dunia menentang Republik Ireland pada Khamis ini sebelum menentang Qatar dalam aksi persahabatan dan berdepan Azerbaijan pada Selasa depan.

Jumaat lalu, United mengumumkan mereka mencapai persetujuan menandatangani perjanjian dengan pemenang lima kali Ballon d'Or dari Juventus.

"Kami akan melakukan apa sahaja untuk dia memecahkan rekod itu,'' kata pemain tengah Portugal, Goncalo Guedes kepada wartawan.

RONALDO (kiri) dan Cancelo memanaskan badan di Lisbon. FOTO AFP
RONALDO (kiri) dan Cancelo memanaskan badan di Lisbon. FOTO AFP

Ronaldo dijangka tampil kali pertama bersama United musim ini apabila menentang Newcastle di tempat sendiri pada 11 September.

Tempoh tiga tahun di United bakal menyaksikan Ronaldo pemain paling tertua beraksi di liga. Ketika ini rekod milik pertahanan Chelsea, Thiago Silva yang berusia 36 tahun, 11 bulan dan lima hari.

Ronaldo pula berusia 36 tahun, enam bulan dan 11 hari dan apabila kembali beraksi di Old Trafford, dia berada di belakang Silva.

Dia meledak 118 gol dalam 292 perlawanan ketika bersama Red Devils sebelum ini dan membantu kelab memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana, satu Liga Juara-Juara, dua Piala Liga, Piala FA, Piala Dunia Kelab Fifa dan Perisai Komuniti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 8:18 AM