PENYERANG Argentina, Lionel Messi menjulang trofi Finalissima selepas Argentina menewaskan Itali di Stadium Wembley, hari ini. FOTO AFP
PENYERANG Argentina, Lionel Messi menjulang trofi Finalissima selepas Argentina menewaskan Itali di Stadium Wembley, hari ini. FOTO AFP
AFP

London: Lionel Messi mencuri tumpuan pada ketika juara Copa America, Argentina menang 3-0 ke atas juara Eropah, Itali pada perlawanan Finalissima di Stadium Wembley, hari ini.

Diinspirasikan kehebatan Messi, Argentina mendahului dua gol pada babak pertama pada perlawanan persahabatan berprestij itu menerusi jaringan Lautaro Martinez dan Angel Di Maria.

Paulo Dybala melengkapkan penguasaan Argentina, tetapi selepas musim mengecewakan di di Paris Saint-Germain dan tidak setanding dengan reputasinya, Messi kembali pada prestasi terbaik dan mencuri tumpuan.

Pemain berusia 34 tahun itu melakukan dua umpanan jaringan dan mempamerkan kehebatannya pada perlawanan jarang diadakan itu.

Selepas dilambung ke udara oleh rakan sepasukan sebaik wisel penamat dibunyikan, Messi berkata: "Hari ini adalah ujian bagus kerana Itali adalah pasukan hebat. Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang bagus dan terbaik untuk menjadi juara.

"Ia adalah perlawanan akhir yang menarik, penuh dengan penyokong Argentina. Pengalaman kami di sini amat indah."

Ia adalah satu lagi dengan kenangan buat Argentina, yang layak ke Piala Dunia Qatar 2022 pada ketika mereka meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Brazil bagi menamatkan penantian 28 tahun untuk menjulang trofi Copa America pada 2021.

Argentina diakui sebagai antara pasukan pilihan untuk memenangi Piala Dunia dan menewaskan Itali adalah satu lagi amaran daripada skuad digelar La Albiceleste, yang kini tidak tewas dalam 32 perlawanan.

Jika Messi terus bermain pada prestasi begini di Qatar, anak buah Lionel Scaloni pasti digeruni pada ketika mereka memburu gelaran Piala Dunia pertama sejak 1986.

"Semuanya berubah sejak Copa America. Kini kami menikmati perlawanan dan bergembira sambil semuanya berlaku dengan lebih mudah.

"Kami teruja dan tidak sabar, tetapi tetap perlu berpijak di bumi nyata," kata Di Maria.

Bagi Itali, keputusan perlawanan itu adalah kepulangan mengecewakan ke Wembley hanya 11 bulan selepas mereka menewaskan England menerusi penentuan penalti di final Euro 2020.

Prestasi anak buah Roberto Mancini menjunam selepas kejayaan itu termasuk gagal layak ke Piala Dunia selepas tewas di tangan pasukan kerdil, Macedonia Utara di separuh akhir play-off.

Ia adalah Finalissima ketiga antara juara Eropah menentang juara Amerika Selatan dan yang pertama sejak skuad Argentina diketuai Diego Maradona menewaskan Denmark pada 1993.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 8:39 AM