SYIHAN Hazmi berazam meningkatkan prestasi dan konsisten untuk mendapat tempat dalam skuad kebangsaan bimbingan Kim Pan-gon. FOTO ihsan NSFC.
SYIHAN Hazmi berazam meningkatkan prestasi dan konsisten untuk mendapat tempat dalam skuad kebangsaan bimbingan Kim Pan-gon. FOTO ihsan NSFC.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC), misi Ahmad Syihan Hazmi Mohamed adalah mengintai peluang berada dalam skuad kebangsaan di bawah bimbingan ketua jurulatih, Kim Pan-gon.

Penjaga gol berusia 26 tahun itu berharap impiannya untuk kembali berada dalam skuad kebangsaan tidak terus tertutup selepas pernah menyertai skuad Bawah 22 Tahun kebangsaan pada 2016-2017.

"Seperti pemain lain, impian untuk menyertai skuad kebangsaan sentiasa membara, apatah lagi kali ini ia dikendalikan jurulatih luar yang mempunyai rekod baik di pentas antarabangsa.

"Keinginan itu lebih tinggi kerana Pan-gon seorang jurulatih berpengalaman dan berwibawa dan pemain tempatan pasti mahu merasai pengalaman di bawah pengendali sepertinya.

"Saya berharap berpeluang mendapat tempat dalam skuad kendalian beliau suatu hari nanti akan tercapai kerana banyak kebaikannya bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi pasukan Negeri Sembilan," katanya.

Syihan Hazmi dilihat berpotensi untuk mendapat tempat dalam skuad kebangsaan pada masa hadapan berdasarkan prestasi dipamerkan dalam skuad Hobin Jang Hobin sepanjang saingan Liga Super, setakat ini.

Selepas empat perlawanan Liga Super, pemain kelahiran Kelantan itu mempamerkan aksi mantap mengawal gawang Negeri Sembilan termasuk menyelamatkan sepakan penalti selain hanya melepaskan empat gol.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 8:34 PM