AKSI pemain negara Mohd Khairul Effendy (tengah) ketika menentang Timor Leste. -Foto AFC
AKSI pemain negara Mohd Khairul Effendy (tengah) ketika menentang Timor Leste. -Foto AFC
Mohamad Zulfaizan Mansor


SKUAD futsal negara mara ke final Kejuaraan AFF 2017 selepas membelasah tuan rumah, Vietnam 5-1 dalam aksi separuh akhir di Stadium Phu Tho, Ho Chi Minh City, sebentar tadi.

Lawan skuad negara di final pada Jumaat ini adalah juara bertahan, Thailand yang mara selepas menang bergaya 8-3 ke atas Myanmar dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Biarpun bakal berdepan tugas getir, namun ini adalah peluang terbaik untuk Malaysia membalas dendam selepas tewas 3-6 kepada Thailand pada aksi peringkat Kumpulan B, Sabtu lalu.

Pada aksi sebentar tadi, Khairul Effendy Bahrin meletakkan skuad kendalian Chiew Chun Yong mendahului dua jaringan selepas meledak gol pada ke-10 dan 12.

Awalluddin Mat Nawi menambah jaringan ketiga pada minit ke-14 sebelum Akmarulnizam Idris meletakkan Malaysia dalam kedudukan selesa selepas menyumbang gol keempat, seminit kemudian.

Vietnam cuba bangkit dengan beberapa gerakan pada babak kedua namun gagal menembusi benteng skuad negara.

Sebaliknya, Akmarulnizam terus menambah derita tuan rumah apabila meledak gol kelima pada minit ke-35.

Vietnam berjaya memecahkan kebuntuan jaringan ketika perlawanan berbaki empat minit, namun ia sudah terlambat untuk menghalang Malaysia ke final.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 10:51 PM