RONALDO (kiri) menjadi watak penting Man United musim ini. FOTO EPA
RONALDO (kiri) menjadi watak penting Man United musim ini. FOTO EPA
Agensi

London: Roy Keane dan Jamie Redknapp berpendapat Cristiano Ronaldo akan memberi impak besar di bawah bimbingan pengurus baharu Manchester United, Erik ten Hag.

Bekas pengurus Ajax, ten Hag diumumkan sebagai pengurus baharu United menggantikan Ralf Ragnick pada minggu lalu.

Ronaldo berada di penghujung kariernya tetapi masih mampu menjaringkan 23 gol dalam 36 penampilan di semua pertandingan musim ini selepas perpindahannya dari Juventus musim lalu.

Ada yang mengkritik pemain berusia 37 tahun itu tidak mempunyai keupayaan untuk memberi tekanan kepada pihak lawan yang menjadi prinsip utama Ten Hag.

Selepas United seri 1-1 menentang Chelsea awal pagi tadi yang menyaksikan Ronaldo menyamakan kedudukan selepas gol pembukaan Marcos Alonso, Keane menyatakan keyakinannya bahawa bintang Portugal itu mampu beraksi dengan baik di bawah bimbingan Ten Hag.

"Saya tahu ada yang mengkritiknya kerana kurang memberi tekanan tetapi itulah satu-satunya peluang diperolehinya pada perlawanan itu.

"Lihat peluang yang dicipta oleh Chelsea. Bayangkan jika Ronaldo berada dalam pasukan Chelsea, dia akan menjaringkan 50 gol.

"Dia berada dalam pasukan United yang lemah dan tidak mencipta banyak peluang untuknya. Tapi menerusi sentuhan dan pergerakannya, anda tahu dia akan menjaringkan gol.

"Dia mengharapkan untuk mendapatkan bola di kawasan yang tepat tetapi pasukan tidak begitu hebat pada tahun ini namun Ronaldo masih menghasilkan jaringan," kata Keane.

Apabila Jamie Redknapp bertanya kepada Keane apakah perancangan Ten Hag untuk pemain Portugal itu, bekas kapten United itu menegaskan bahawa kehebatan Ronaldo ketika melakukan serangan mengatasi kekurangannya.

"Jika anda mempunyai pemain yang boleh menjaringkan gol sebanyak itu, maka dia perlu kerap diberi peluang beraksi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 5:34 PM