FAIZ bakal menjalani latihan bersama TFC dalam masa terdekat selepas pulih daripada masalah kesihatan. FOTO Ihsan TFC
FAIZ bakal menjalani latihan bersama TFC dalam masa terdekat selepas pulih daripada masalah kesihatan. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain sayap Terengganu FC (TFC), Mohd Faiz Nasir dijangka bakal kembali menjalani latihan bersama pasukannya dalam masa terdekat selepas pulih daripada masalah kesihatan yang dialaminya.

Bagaimanapun hasrat pemain yang digelar 'Messi Terengganu' itu membuat penampilan sulung bersama TFC musim ini mungkin mengambil masa lebih lama lagi.

Hal ini berikutan jadual perlawanan Liga Super dipinda bagi memberi laluan kepada persiapan skuad negara yang bakal beraksi dalam pentas Sukan SEA Mei depan.

Pengendali TFC, Nafuzi Zain berkata, keadaan kesihatan pemain lincah berusia 29 tahun itu kini berada dalam keadaan stabil selepas dibenarkan keluar daripada Terengganu Specialist Hospital (KTS) minggu lalu.

"Alhamdulillah Faiz sudah pulih daripada masalah kesihatan dialaminya sebelum ini, namun pemain itu perlu menjalani satu lagi ujian kesihatan.

"Sekiranya tiada masalah dia akan menjalani latihan bersama rakan sepasukannya, namun untuk beraksi dalam perlawanan kompetitif kita akan memantau kecergasannya terlebih dahulu.

"Namun besar harapan saya akan dapat menggunakan khidmat pemain itu kerana dia antara pemain utama yang berada dalam perancangan kami," katanya.

Terdahulu misteri kehilangan pemain kelahiran Kelantan dalam tiga aksi pertama pasukan terjawab selepas dia disahkan mengalami masalah kesihatan termasuk kerap muntah dan sakit kepala.

Faiz antara watak penting dalam pasukannya kemudian dikejarkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 16 April lalu selepas mengadu tidak sihat badan dan kesukaran bernafas sebelum disyaki mengalami masalah jantung.

Namun hasil laporan perubatan dia tidak mengalami masalah berkaitan jantung, kanser ataupun keracunan makanan, sebaliknya faktor keletihan, sakit kepala dan kesukaran bernafas adalah punca dia dikejarkan ke HSNZ untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 6:51 PM