RONALDO harapan United robek gawang Villarreal.
RONALDO harapan United robek gawang Villarreal.
Agensi

London: Cristiano Ronaldo mempunyai 'urusan' yang belum selesai ketika Manchester United menentang Villarreal.

Red Devils kini bersiap sedia menerima kunjungan Villarreal ke Old Trafford dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini dengan misi membalas dendam selepas tewas kepada Yellow Submarine menerusi penentuan penalti pada final Liga Europa musim lalu.

Tetapi bukan hanya mereka yang mahu membuktikan sesuatu dalam perlawanan itu. Ronaldo berdepan Villarreal empat kali ketika menyarung jersi United sebelum ini iaitu pada 2005 dan 2008.

Bintang sensasi Portugal itu beraksi dalam kesemua perlawanan itu tetapi gagal meledak sebarang gol atau meraih kemenangan. Malah kesemuanya berakhir 0-0.

Ronaldo sudah pasti melihat kembali statistik itu bagi memulihkan United yang tewas mengejut kepada Young Boys dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara.

Dia berpeluang melakukannya berdasarkan rekod cemerlang ketika menentang Villarreal sepanjang menyarung jersi Real Madrid.

Dalam 15 penampilan La Liga menentang kelab Castellon itu, Ronaldo meledak tidak kurang daripada 13 gol dan mencipta lima bantuan jaringan.

Old Trafford sekali lagi menjadi tumpuan Khamis ini untuk melihat sama ada Ronaldo mampu meneruskan momentum itu dan menamatkan badinya sebagai pemain Red Devils ketika menentang Villarreal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 6:14 PM