Pemain PJ City, Aroon Kumar (kanan) mengasak pemain Pahang, Mohamad Faisal Abdul Halim (kiri) dalam aksi Liga Super. FOTO Bernama
Pemain PJ City, Aroon Kumar (kanan) mengasak pemain Pahang, Mohamad Faisal Abdul Halim (kiri) dalam aksi Liga Super. FOTO Bernama
BERNAMA

PENGENDALI Petaling Jaya (PJ) City FC, K Devan memuji corak permainan ditampilkan anak buahnya yang berjaya meraih tiga mata penuh menewaskan Pahang 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium UiTM Shah Alam, di sini, malam tadi.

Devan berkata barisan pemainnya mempamerkan semangat juang yang tinggi sehingga ke minit akhir perlawanan untuk bangkit memperoleh gol kemenangan.

"Kita bermain sangat baik pada babak pertama. Kita lebih banyak mencipta peluang namun gagal menambahkan jaringan.

Pada babak kedua, saya tidak begitu berpuas hati apabila Pahang mendahului kita. Tetapi dengan pertukaran pemain, kita berjaya menyamakan kedudukan dan seterusnya menjaringkan gol kemenangan pada minit akhir perlawanan," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Pahang Dollah Salleh menuntut anak buahnya supaya segera bangkit apabila gagal meraih sebarang mata selepas tewas dua perlawanan berturut-turut.

"Dickson Nwakaeme tidak menunjukkan prestasi yang diharapkan. Kita juga perlu bermain sebagai sebuah pasukan. Saya yakin mereka akan bangkit pada perlawanan seterusnya, tetapi kita perlu memperbaiki barisan tengah dan pertahanan," katanya.

Pada perlawanan itu, PJ City FC mendahului perlawanan dengan jaringan Demba Camara pada minit ke-11 sebelum Dickson Nwakaeme menyamakan kedudukan pada minit ke-15 menerusi sepakan penalti.

Pada babak kedua Pahang berada di hadapan pada minit ke-50 menerusi jaringan Ivan Carlos, namun sembilan minit kemudian PJ City FC berjaya menyamakan kedudukan melalui R Barathkumar sebelum R Kogileswaran meledak gol kemenangan pada masa kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 7:19 PM