PEMAIN tengah Brighton, Leandro Trossard dipeluk rakan sepasukan selepas menjaringkan gol kemenangan. FOTO Reuters
PEMAIN tengah Brighton, Leandro Trossard dipeluk rakan sepasukan selepas menjaringkan gol kemenangan. FOTO Reuters
Reuters

London: Tottenham Hotspur melepaskan peluang untuk mengukuhkan kedudukan di tangga keempat Liga Perdana Inggeris apabila tewas 0-1 di tempat sendiri kepada Brighton & Hove Albion, hari ini.

Anak buah Antonio Conte mempamerkan aksi kurang bermaya dan perlawanan dilihat akan berkesudahan seri tanpa jaringan sebelum pemain Belgium, Leandro Trossard menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90.

Selepas empat kemenangan berturut-turut, mood menjelang perlawanan dilihat meyakinkan di utara London, tetapi aksi Tottenham berbeza dengan sinar mentari pada musim bunga.

Penguasaan kurang bermaya dan tiada imaginasi, dua jentera serangan berbahaya Tottenham, Harry Kane dan Son Heung-min kelihatan seperti penonton pada babak pertama apabila tuan rumah hanya melakukan satu percubaan ke arah pintu gol Brighton.

Selepas rehat, Spurs meningkatkan kesungguhan dan Son menyaksikan beberapa percubaannya dihalang, tetapi Brighton lebih mengancam dan berhak pulang dengan tiga mata apabila Trossard meluru dari kiri kotak penalti dan merembat dengan kaki kanan menewaskan Hugo Lloris.

Trossard memainkan peranan besar dalam perebutan empat tempat teratas apabila turut menjaringkan gol ketika Brighton menang 2-1 di Arsenal, minggu lalu.

Tottenham kini menduduki tempat keempat dengan 57 mata, tetapi hanya tiga mata di depan seteru setempat, Arsenal yang memiliki kelebihan dua perlawanan manakala Brighton naik ke tempat ke-10 dengan 40 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 10:58 PM