TROSSARD kini milik Arsenal. -FOTO Reuters
TROSSARD kini milik Arsenal. -FOTO Reuters
AFP

London: Mikel Arteta menjangkakan penyerang Arsenal, Leandro Trossard akan memberi impak segera selepas penyerang Belgium itu menandatangani kontrak dari Brighton dengan nilai £27 juta (RM143.28 juta) semalam.

Trossard bersetuju dengan kontrak "jangka panjang" dalam usaha Arsenal memperkukuh pilihan serangan mereka untuk memenangi gelaran juara liga buat kali pertama sejak 2004.

Pemain berusia 28 tahun itu boleh membuat penampilan sulungnya untuk pasukan Arteta, yang mendahului lima mata di puncak, dalam pertembungan penting esok menentang Manchester United di Stadium Emirates.

Ditanya mengenai rekod Trossard di Liga Perdana yang sudah terbukti, Arteta memberitahu wartawan: "Ia sangat penting. Kita perlu berfikir jangka pendek, tetapi juga jangka sederhana dan panjang. Dia memberi kita semua itu. Dia seorang pemain yang sangat bijak.

"Apabila anda melihat apa yang dia lakukan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dia seorang pemain yang sesuai dengan cara kami bermain. Kami gembira memilikinya.

"Dia tahu liga ini, dia mempunyai pengalaman yang cukup di sini dan saya fikir dia boleh memberi impak segera kepada pasukan."

Arsenal mendapatkan Trossard selepas gagal menandatangani pemain sayap Ukraine, Mykhailo Mudryk yang dibeli pencabar dari London, Chelsea minggu lalu.

Trossard bermain di bawah kendalian penolong jurulatih Arsenal, Albert Stuivenberg di Genk dan Arteta berkata dia sudah bercakap dengan pengendalian Belanda itu yang memberikan rujukan bagus.

"Kami bercakap mengenai semua orang yang ada kaitan yang kami mahu ambil kerana perwatakan adalah sesuatu yang penting, selain itu kita perlu faham bagaimana mereka boleh serasi bersama kelab serta perbualan secara peribadi," katanya.

"Albert memberikan rujukan yang bagus. Kami sangat gembira memilikinya. Dia adalah pemain yang sudah kami ikuti sejak beberapa ketika.

"Peluang itu hadir dan kami ada keperluan di bahagian depan menerusi pemain yang cukup kemampuan bermain dalam pelbagai posisi."

Trossard, yang bermain buat Belgium pada Piala Dunia lalu, menjaringkan tujuh gol dalam 16 aksi EPL buat Brighton musim ini termasuk hatrik ketika menentang Liverpool pada Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2023 @ 8:59 AM