MATIC (kanan) akan meninggalkan United sebaik berakhir musim ini. FOTO EPA
MATIC (kanan) akan meninggalkan United sebaik berakhir musim ini. FOTO EPA
Reuters

London: Pemain tengah Manchester United, Nemanja Matic berkata dia akan meninggalkan kelab Liga Perdana itu pada penghujung musim sekali gus menamatkan tempoh lima tahunnya di Old Trafford.

Matic yang masih mempunyai kontrak di United sehingga 2023, sudah membuat 26 penampilan dalam semua pertandingan untuk kelab itu musim ini.

"Saya sudah memaklumkan kepada lembaga pengarah, pengurus dan pemain mengenai keputusan saya.

"Ia adalah satu penghormatan besar dan sangat istimewa dapat beraksi dengan kelab hebat ini. Terima kasih yang tidak terhingga kepada peminat atas sokongan yang tidak berbelah bahagi.

"Saya kini akan memberikan segala-galanya sehingga akhir musim untuk membantu rakan sepasukan menamatkan saingan di kedudukan terbaik," tulis pemain berusia 33 tahun itu di Instagram.

Matic menyertai United dari Chelsea pada 2017 ketika Jose Mourinho membimbing di Old Trafford dan pernah menjadi tonggak penting pengurus Portugis itu semasa kempen 2014-15.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 8:20 AM