PEMAIN pertahanan Manchester City, Kyle Walker (kiri) cuba menghalang penyerang Liverpool, Sadio Mane ketika seri 2-2, semalam. FOTO AFP
PEMAIN pertahanan Manchester City, Kyle Walker (kiri) cuba menghalang penyerang Liverpool, Sadio Mane ketika seri 2-2, semalam. FOTO AFP
AFP

Manchester: Pemain pertahanan, Kyle Walker percaya Manchester City boleh mengambil hati selepas seri 2-2 dengan pencabar Liga Perdana Inggeris, Liverpool.

Keputusan seri di Etihad itu menyaksikan City yang juga juara bertahan satu mata mengatasi Liverpool di tangga teratas liga dengan baki tujun perlawanan.

"Sudah tentu, kami mahu menang semua perlawanan terutama apabila menerima kunjungan pasukan lain, tetapi paling penting adalah tidak tewas," kata Walker.

"Kami tidak boleh tewas perlawanan seperti ini dan ketinggalan kerana pasukan bagus seperti mereka tidak akan tercicir banyak mata.

"Anda dapat satu mata, mara ke depan dan mereka masih terus mengejar. Saya fikir, ini adalah langkah ke arah sewajarnya."

Pemain pertahanan itu berkata: "Ia dalam tangan kami, kami masih di tangga teratas. Itu adalah mesej penting perlu kami tekankan ketika turun untuk beberapa lagi perlawanan yang sangat penting."

City memperoleh gol menerusi Kevin De Bruyne dan Gabriel Jesus pada setiap babak dan mendahului 2-1 ketika rehat selepas Diogo Jota merapatkan jurang sebelum Sadio Mane menyamakan kedudukan sebaik babak kedua bersambung.

City tidak akan beraksi dalam liga sehinggalah menanti kunjungan Brighton pada 20 April.

Sebelum perlawanan itu, mereka akan berkunjung ke Sepanyol untuk perlawanan suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah menentang Atletico Madrid, Rabu ini sebelum bertemu Liverpool sekali lagi di separuh akhir Piala FA.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 10:28 PM