WALKER digantung oleh UEFA. FOTO EPA
WALKER digantung oleh UEFA. FOTO EPA
AFP

London: Pertahanan Manchester City, Kyle Walker digantung tiga perlawanan Eropah selepas dilayangkan kad merah ketika bertemu RB Leipzig pada saingan Liga Juara-Juara.

Bek kanan England itu dibuang padang kerana mengasari penyerang, Andre Silva pada minit ke-82 ketika aksi terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, 7 Disember lalu.

Penggantungan itu, diputuskan oleh badan disiplin Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) semalam, menyaksikan Walker akan terlepas kedua-dua aksi peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang Sporting Lisbon.

UEFA melabelkan kekasaran dilakukan Walker itu sebagai 'serangan' dalam pendakwaan mereka.

Walker juga akan terlepas beraksi untuk perlawanan suku akhir pertama jika City menewaskan Sporting, atau perlawanan Eropah pertama mereka musim depan.

City tewas 1-2 kepada Leipzig tetapi mereka sudah mengesahkan kedudukan selaku pendahulu Kumpulan A.

"Kad merah itu menyukarkan kami terutama pada pusingan 16 terakhir. Kyle Walker adalah pemain yang penting kepada kami dan kehilangannya adalah sia-sia. Saya harap dia memperoleh pengajaran," kata Guardiola.

City akan bertemu Sporting pada aksi pertama di Lisbon 15 Februari ini dengan perlawanan timbal balik di Stadium Etihad, 9 Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 8:54 AM