MAHREZ (tengah) menyempurnakan sepakan penalti. FOTO Reuters
MAHREZ (tengah) menyempurnakan sepakan penalti. FOTO Reuters

London: Manchester City selesa dengan kelebihan 12 gol di tangga teratas Liga Perdana selepas melakar kemenangan 2-0 ke atas Brentford, hari ini.

Skuad bimbingan Pep Guardiola melebarkan rekod tanpa kalah kepada 14 perlawanan pada saingan liga hasil sepakan penalti Riyad Mahrez di separuh masa pertama dan gol sumbangan Kevin De Bruyne pada babak kedua di Stadium Etihad.

City yang dipaksa seri 1-1 dengan Southampton pada perlawanan terdahulu, kembali ke landasan tepat untuk terus memberi tekanan kepada pasukan tangga kedua, Liverpool.

City melakukan enam pertukaran berbanding pasukan yang menewaskan Fulham pada Piala FA minggu lalu.

Di sebalik kemenangan itu, pengurus City, Pep Guardiola mengingatkan masih banyak rintangan yang perlu dihadapi anak buahnya dalam usaha menjulang kejuaraan Liga Perdana kali keempat dalam tempoh lima tahun.

"Mereka sangat sukar untuk ditembusi. Anda perlu bersabar, tidak melakukan kesilapan dan pada akhirnya memperoleh keputusan dimahukan," katanya.

City meraih 100 dan 98 mata ketika dua kali muncul juara liga sebelum ini dan skuad kali ini dilihat akan meraih pencapaian sama apabila sudah mengumpul 60 mata.

"Setiap pasukan berdepan saingan yang sukar tetapi sangat menakjubkan kami dapat meraih 60 mata setakat sekarang.

"Kami sudah melakukan yang terbaik. Masih ada 14 perlawanan lagi dan banyak mata boleh dikutip," kata Guardiola.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 7:02 AM