SKUAD Sri Pahang FC. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
SKUAD Sri Pahang FC. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Christophe Gamel mahu pemainnya melupakan segera kekalahan tipis 0-1 kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC), kelmarin.

Justeru, jurulatih berusia 50 tahun itu meminta anak buahnya bangkit dalam usaha melakar kemenangan apabila melayan PJ City FC di Stadium Darul Makmur, malam esok.

"Kekalahan itu perlu segera dilupakan untuk kembali fokus pada perlawanan kedua Liga Super berdepan PJ City.

"Segala kelemahan yang dipersembahkan akan diperbaiki untuk memastikan kemenangan buat Sri Pahang di tempat sendiri," katanya.

Kelmarin, skuad Tok Gajah yang memulakan perlawanan pertama saingan Liga Super gagal untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata di tempat lawan.

Biarpun cuba bangkit sebaik ketinggalan 0-1, Sri Pahang yang memberi tekanan kepada pemain pertahanan gagal membolosi gawang tuan rumah.

Sebagai persediaan menentang PJ City malam esok, Gamel berkata, tahap kecergasan diberi tumpuan fokus dalam usaha membentuk pasukan yang mantap.

"Diharapkan peluang yang dimiliki pada perlawanan kedua dapat dimanfaatkan sebaiknya," katanya.

Difahamkan, penyerang import dari Jordan, Mahmoud Za'tara akan terus menjadi sandaran utama skuad Tok Gajah untuk membolosi gawang PJ City.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 12:20 PM