AZRAAI berkata menjadi mangsa adalah pemain dan barisan kejurulatihan kerana mereka ini bertungkus lumus untuk pasukan. FOTO NSTP
AZRAAI berkata menjadi mangsa adalah pemain dan barisan kejurulatihan kerana mereka ini bertungkus lumus untuk pasukan. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bagaimana syarikat yang dilihat tidak mempunyai sumber kewangan kukuh namun diberi peluang untuk memiliki pasukan Perak FC?

Perkara itu dipersoalkan bekas jurulatih Perak FC Azraai Khor Abdullah apabila melihat pasukan yang suatu ketika dahulu digeruni kini hilang 'taringnya' hingga dilelong RM1.

Azraai berkata, pihak berkaitan seharusnya meneliti terlebih dahulu latar belakang kewangan pemilik baharu sebelum membenarkan mereka mengambil alih skuad Bos Gaurus kerana impaknya begitu besar terutama membabitkan pemain dan pegawai pasukan.

Katanya, Perak FC ketika ini boleh dikatakan di ambang kemusnahan dan tidak mustahil akan mengikut jejak langkah Perlis iaitu ditutup berikutan tidak mampu menyelesaikan hutang tertunggak.

"Saya dengar sebelum mahu memiliki pasukan perlu mengemuka proof of funds kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk melihat kemampuan kewangan individu atau syarikat berkenaan.

"Jika perkara itu dilakukan, bagaimana pula syarikat atau pihak yang mengambil alih Perak FC berhadapan masalah kewangan walaupun hanya beberapa bulan memiliki pasukan itu.

"Sekarang ini, menjadi mangsa adalah pemain dan barisan kejurulatihan kerana mereka ini bertungkus lumus untuk pasukan namun akhirnya dibiarkan begitu saja," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan bahawa Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd meletakkan tanda harga Perak FC hanya RM1 kepada individu atau syarikat yang mahu memiliki pasukan terbabit.

Harga terbabit boleh dianggap tidak masuk akal namun keadaan tenat yang melanda skuad Bos Gaurus menyebabkan IMC terpaksa mengambil keputusan terbabit untuk melepaskan pasukan itu dalam masa terdekat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC Muhammad Yunus Zakariah ketika dihubungi Arena Metro memaklumkan bahawa, pihaknya tidak berkemampuan untuk menyelesaikan hutang pasukan termasuklah tunggakan gaji.

Beliau berkata, ketika ini penjualan Perak FC terganggu berikutan pihak pembeli masih lagi tidak mengemukakan proof of funds seperti yang termaktub dalam peraturan ditetapkan oleh MFL.

Sementara itu, Azraai yang mengendalikan Perak pada 2013 berharap ada individu berhati mulia bersedia mengambil alih pasukan terbabit seterusnya keluar masalah tunggakan gaji.

"Kita boleh lihat kesetiaan yang dipamerkan oleh penyokong skuad Bos Gaurus yang mahukan perubahan kepada Perak FC dan mengembalikan zaman kegemilangan pasukan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2022 @ 9:33 PM