REAKSI pemain Sri Pahang FC ketika menjalani latihan di Kuantan. FOTO  Sri Pahang FC
REAKSI pemain Sri Pahang FC ketika menjalani latihan di Kuantan. FOTO Sri Pahang FC
Asrol Awang

Kuantan: Sri Pahang FC akan menyenaraikan pemain import apabila berdepan Manjung City FC pada pusingan pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Pengendalinya, Christophe Gamel berkata, setakat ini lima pemain import berada pada prestasi baik tetapi hanya empat dibenarkan beraksi dalam kesebelasan utama.

"Oleh itu, saya belum membuat keputusan senarai pemain import yang akan bermain kerana keputusan pada hari perlawanan. Pada masa sama, saya turut menilai semua pemain kerana ada yang baharu pulih daripada wabak Covid-19 dan kecederaan.

"Saya akan pastikan kesebelasan pemain yang akan berdepan Manjung City adalah yang terbaik," kata jurulatih berumur 50 tahun itu.

Musim ini, Sri Pahang menyenaraikan lima import iaitu Manuel Hidalgo, Mamadou Samassa, Mahmoud Za'tara, Johan Martial dan Billy Ketkeophomphone.

Gamel berkata, pemain yang akan disenaraikan diharap dapat memberikan persembahan terbaik mereka untuk mencatat kemenangan.

Katanya, semua pemain berpeluang berada dalam skuad utama termasuk barisan pemain muda.

"Ketika ini jika dilihat kepada persembahan dan komitmen pemain terutama pemain muda sepanjang latihan, mereka boleh beraksi esok. Oleh itu apabila diberikan peluang bermain dengan bagus sepanjang perlawanan untuk memastikan Sri Pahang mencatat kemenangan," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 4:05 PM