Sergio Aguero.
Sergio Aguero.
Asrol Awang


Kuantan: Selepas Sri Pahang FC mengesahkan menandatangani lima pemain import bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini, timbul persoalan kedudukan dua lagi import iaitu Lee Tuck dan Sergio Aguero.

Ini kerana pengurusan kelab itu sebelum ini mengesahkan dua pemain import berkenaan kembali bersama Sri Pahang musim 2022.

Namun, kehadiran lima import iaitu Manuel Hidalgo, Mamadou Samassa, Mahmoud Za'tara, Johan Martial dan Billy Ketkeophomphone kini mencetuskan tanda tanya mengenai status Tuck dan Aguero.

Musim lalu, kelab itu meminjamkan Tuck kepada Terengganu FC (TFC) manakala Aguero pula bersama Perak FC (PFC).

Justeru, kemungkinan Tuck dan Aguero akan dipinjamkan kepada kelab lain musim ini masih menjadi persoalan.

Lee Tuck. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Lee Tuck. FOTO Ihsan Sri Pahang FC

Difahamkan dua pemain berkenaan akan dinaturalisasi dan didaftarkan sebagai pemain tempatan musim ini.

Namun, setakat ini tiada sebarang kata putus dan pengumuman rasmi daripada pengurusan Sri Pahang FC mengenai status dua import itu untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan.

Jika ia menjadi kenyataan, skuad kendalian Christophe Gamel bakal memiliki barisan pemain berpengalaman terutama pemain import.

Pada 3 Disember lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata badan induk bola sepak negara itu tidak akan menghalang mana-mana kelab Liga M yang mahu menaturalisasikan pemain masing-masing.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin memberitahu walaupun badan induk itu menangguhkan sementara proses naturalisasi pemain untuk pasukan kebangsaan, kelab Liga M masih boleh meneruskan usaha itu sekiranya menepati syarat ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 1:24 PM