Pemain Kelantan FC, Natanael Ringo diasak pemain PJ City FC K Prabakaran pada aksi Piala FA di Stadium MBPJ. FOTO Bernama
Pemain Kelantan FC, Natanael Ringo diasak pemain PJ City FC K Prabakaran pada aksi Piala FA di Stadium MBPJ. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali Petaling Jaya City FC (PJ City), P Maniam mengakui kagum dengan tindakan penyudah P Rajesh yang menjaringkan gol kemenangan buat pasukan ketika menewaskan Kelantan FC 2-1, sekali gus mara ke pusingan kedua Piala FA.

Jelas Maniam, tandukan terbang Rajesh cukup cantik dan ia mengejutkan dirinya yang tidak menyangka tandukan itu menerjah jaring.

"Secara keseluruhan kita menang dengan 2-1, separuh masa kedua kita ubah Rajesh (ubah posisi ke bahagian serangan) yang dia boleh jaringkan gol dengan tandukan terbang yang saya sendiri pun tak sangka.

"Dia berada dalam kedudukan yang betul dan hantaran S Kumaahran tepat dan sudah tentu saya gembira (gol kemenangan itu)," katanya selepas aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu.

Jelasnya lagi, beliau berpuas hati dengan prestasi pasukan dan menganggap Kelantan FC memberi cabaran yang sukar kepada anak didiknya.

"Tapi Kelantan bukan pasukan yang mudah, mereka cukup kuat dengan ada kualiti pemain dan saya juga boleh lihat pemain tempatan juga bagus.

"Saya rasa mereka boleh pergi jauh untuk memenangi liga (Liga Perdana), dan apapun saya gembira dengan pemain saya dan, saya boleh lihat pemain bekerja keras walaupun kita tewas kepada Sabah (dalam aksi Liga Super) dan objektif kita memenangi perlawanan ini," katanya.

Selain jaringan kemenangan oleh Rajesh pada minit ke-72 itu, PJ City turut meraih gol hasil tandukan Darren Lok pada babak pertama dengan Kelantan diperoleh gol pembukaan perlawanan menerusi Fadel Antar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 4:56 PM