RAJESH meninggal dunia selepas terbabit kemalangan jalan raya di Batu Caves, malam tadi.
RAJESH meninggal dunia selepas terbabit kemalangan jalan raya di Batu Caves, malam tadi.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Arena bola sepak negara dikejutkan dengan kehilangan pemain veteran Petaling Jaya City (PJ City), P Rajesh maut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Batu Caves, malam tadi.

Jelas sekali kehilangan tonggak berusia 37 tahun itu memberi tamparan buat skuad 'buatan Malaysia' itu apabila mendiang banyak membantu PJ City sepanjang kempen Liga Super musim ini.

Malah, mendiang turut membuat penampilan sebagai pemain gantian dalam perlawanan terakhir menentang Kuala Lumpur City (KL City) pada Sabtu lalu.

Rajesh yang memulakan karier sebagai pemain bola sepak profesional sejak 2011 beraksi bersama PKNS FC (kini Selangor II) pada 2011 dan membantu kelab itu menjuarai Liga Premier pada tahun sama.

Dia turut melebarkan kariernya bersama Selangor FC pada 2014 dan kemudiannya menyarung jersi Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 2015.

Mendiang menyertai PJ City pada 2018 dan terus kekal sehingga 2022 yang juga musim kelimanya bersama kelab itu.

Bagi musim ini, Rajesh membuat 12 penampilan secara keseluruhan iaitu enam kali dalam kesebelasan utama dan enam kali sebagai pemain gantian.

Momen paling diingati penyokong pastinya ketika dia tular selepas melakukan tandukan terbang hasil hantaran S Kumaahran untuk membantu PJ City menang pusingan kedua Piala FA menentang Kelantan FC.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 11:55 AM