HAVERTZ (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO Reuters
HAVERTZ (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO Reuters
AFP

London: Kai Havertz meredakan kesuraman Chelsea berikutan sekatan dikenakan terhadap Roman Abramovich apabila gol lewatnya mengesahkan kemenangan 1-0 ke atas Newcastle, hari ini.

Pemilik Chelsea, Abramovich dikenakan sekatan oleh kerajaan Britain selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan ia sekali gus meletakkan masa depan juara Eropah itu dalam ketidakpastian.

Dengan bil gaji bulanan Chelsea dianggarkan sekitar £28 juta (RM153.2 juta) dan aliran pendapatan mereka berkurangan secara mendadak akibat sekatan berkenaan, ia mencetuskan kebimbangan kepada kelab itu melainkan pemilik baharu ditemui tidak lama lagi.

Selepas tidak dapat menandatangani pemain baharu atau memperbaharui kontrak, Chelsea menyaksikan penaja mereka, Three dan Hyundai menggantung perjanjian mereka dengan kelab minggu ini.

Tetapi skuad bimbingan Thomas Tuchel kekal fokus dengan Havertz meledak gol lewat permainan untuk membolehkan Chelsea meraih kemenangan kali keempat berturut-turut sejak Abramovich mengumumkan mahu menjual kelab itu.

Chelsea kekal di tangga ketiga Liga Perdana dan kini mengalihkan tumpuan kepada aksi timbal balik pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang Lille Khamis ini.

Mempertahankan kejuaraan Liga Juara-Juara adalah matlamat utama Chelsea sebelum ini tetapi kini ia adalah perkara yang bukan menjadi keutamaan kepada mereka.

Tuchel mengakui sebelum sepak mula bahawa beliau tidak diberi sebarang jaminan mengenai masa depan kelab.

"Tiada jaminan dan saya fikir sesiapa yang memberi jaminan tidak boleh dipercayai kerana tiada siapa yang tahu. Ini pendapat saya mengenai apa yang akan berlaku," katanya.

Penasihat teknikal Chelsea, Petr Cech pula mengakui fokus utamanya adalah untuk memastikan kelab itu dapat beraksi sehingga hujung musim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 7:59 AM