Pemain Chelsea meraikan kejayaan menjulang Piala Dunia Kelab FIFA di Abu Dhabi. FOTO EPA
Pemain Chelsea meraikan kejayaan menjulang Piala Dunia Kelab FIFA di Abu Dhabi. FOTO EPA
Reuters

Abu Dhabi: Pengendali Chelsea Thomas Tuchel mendedikasikan kejuaraan Piala Dunia Kelab FIFA kepada pemilik kelab Roman Abramovich selepas kemenangan 2-1 menerusi tambahan masa ke atas Palmeiras melengkapkan trofi yang tercicir sejak jutawan Rusia itu membeli kelab berkenaan.

Kai Havertz menyempurnakan penalti di penghujung tambahan masa bermakna Chelsea kini memenangi 18 trofi utama sejak 2003 apabila Abramovich membeli kelab berkenaan - lima gelaran Liga Perdana, dua Liga Juara-Juara, lima Piala FA, tiga Piala Liga, dua Piala Europa dan kini Piala Dunia Kelab FIFA.

Mereka juga mara ke final Piala Liga musim ini dan bersaingan di Liga Juara-Juara, sekalipun gelaran Liga Perdana tampak masih jauh buat pasukan itu.

"Saya ucapkan tahniah, dia ucapkan tahniah dan saya katakan ia untuk kamu. Ia adalah kelab kamu dan ia adalah diatas usaha serta minat kamu yang merealisasikan perkara mustahil ini. Kami gembira menjadi sebahagian daripadanya," kata Tuchel kepada pemberita apabila ditanya apa yang dikatakan kepada Abramovich selepas tamat perlawanan.

Tuchel tampil lewat untuk mengendalikan pasukan di Abu Dhabi selepas terlepas aksi separuh akhir menentang Al-Hilal kerana diuji positif Covid-19.

Pengendali dari Jerman yang memberi impak menakjubkan di Stamford Bridge sejak mengambil alih pasukan setahun lalu.

Palmeiras seolah-olah memaksa Chelsea bagi saingan penentuan penalti sebelum percubaan Cesar Azpilicueta terkena tangan Luan dan Havertz berjaya menyempurnakan tugasnya.

Penampilan tunggal Chelsea pada pertandingan itu berakhir dengan kekalahan ke atas Corinthians pada final 2012.

"Jika kamu menjaringkan gol lewat, kamu memerlukan tuah untuk melakukannya. Kami berusaha keras mencuba dan tidak berhenti. Kami tidak memberi ruang," kata Tuchel.

"Kami berkata di bilik persalinan mengenai peluang terbaik ini, semua orang iri hati dengan kami.

"Ia sangat istimewa dan kami mahu beraksi tanpa kesal."

Tandukan Romelu Lukaku memberikan juara Eropah itu kelebihan pada minit ke-54 tetapi Raphael Veiga menyamakan kedudukan hasil penalti buat juara Copa Libertadores itu selepas sejam perlawanan di Abu Dhabi.

Havertz, hero final Liga Juara-Juara ketika berdepan Manchester City, sekali lagi menjaringkan gol kemenangan Chelsea apabila dia menyempurnakan penalti pada minit ke-117 selepas diberikan penalti berikutan rakaman VAR.

Skuad Blues kini meraih semua trofi utama dan menjadi kelab England ketiga menang kejohanan global itu selepas Manchester United dan Liverpool.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 7:38 AM