PENONTON memberi tepukan solidariti ketika Chelsea bertemu West Ham. FOTO AFP
PENONTON memberi tepukan solidariti ketika Chelsea bertemu West Ham. FOTO AFP
AFP

Burnley: Thomas Tuchel menyelar tindakan penyokong Chelsea yang melaungkan nama Roman Abramovich semasa tepukan seminit kepada Ukraine yang diserang sebelum menang 4-0 menentang Burnley.

Berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, kelab Liga Perdana melakukan tepukan solidariti sebelum perlawanan dan pada setiap perlawanan yang berlangsung hujung minggu ini dengan majoriti peminat menyertai tepukan itu di Turf Moor.

Bagaimanapun tepukan sokongan dari segelintir penyokong Chelsea yang hadir itu terganggu apabila ada yang melaungkan nama pemilik kelab dari Rusia itu.

Abramovich minggu ini mengumumkan akan menjual pemenang Liga Juara-Juara itu di tengah-tengah spekulasi yang mengatakan beliau mungkin akan dikenakan sekatan oleh kerajaan Britain atas dakwaan mempunyai kaitan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Bagaimanapun, Tuchel kecewa dengan penyokong yang memilih untuk tidak menghormati sokongan terhadap Ukraine.

"Ini bukan masa untuk melakukannya. Jika kita menunjukkan solidariti kita harus melakukannya bersama-sama," katanya.

"Kita perlu bersama-sama. Jika orang penting untuk kelab atau kelab lain meninggal, kita akan memberi penghormatan selama seminit.

"Ia bukan masa untuk menyampaikan mesej lain. Ia adalah detik untuk menunjukkan rasa hormat. Kami mahu melakukan itu. Sebagai sebuah kelab kami komited dengan tepukan gemuruh ini," katanya.

Selepas penyokong Chelsea bersorak nama Abramovich ketika memberi tepukan buat Ukraine, Reece James meletakkan mereka di depan pada minit ke-47.

Havertz menggandakan kelebihan menerusi tandukan hasil hantaran Christian Pulisic lima minit kemudian.

Penyerang Jerman itu yang sekali lagi menggantikan Romelu Lukaku, menjadikan tiga gol dalam sembilan minit apabila menyudahkan hantaran James.

Pulisic menyudahkan gol keempat Chelsea pada minit ke-69 selepas hantaran Saul Niguez terkena lawan.

Kemenangan ketiga berturut-turut Chelsea dalam liga membawa mereka enam mata di belakang pasukan tangga keempat Manchester United.

Chelsea sudahpun meraih 19 trofi di bawah pemilikan Abramovich selama 19 tahun termasuk lima gelaran Liga Perdana, dua Liga Juara-Juara dan Piala Dunia Kelab.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 8:09 AM