CHELSEA akan bertemu Palace esok. FOTO AFP
CHELSEA akan bertemu Palace esok. FOTO AFP
Reuters

London: Chelsea memberi tumpuan pada aksi separuh akhir Piala FA menentang Crystal Palace esok dan tidak terganggu dengan tindakan kerajaan Britain mengenakan sekatan ke atas pengarah kelab, Eugene Tenenbaum, kata pengurus Thomas Tuchel.

Kerajaan Britain mengenakan sekatan ke atas Tenenbaum sebagai tindak balas terhadap pencerobohan Rusia ke atas Ukraine apabila membekukan asetnya dengan alasan mempunyai hubungan akrab dengan pemilik Chelsea, Roman Abramovich.

"Saya tidak tahu implikasi dan apa maknanya kepada kelab. Buat masa ini, ia tidak mengganggu kami.

"Ia hanya satu lagi situasi yang sama iaitu mengenai penjualan dan lembaga pengarah, itulah prosesnya.

"Ia bukan perkara baharu bagi saya. Untuk saya, di sini adalah tempat latihan yang jauh daripada semua gangguan itu sepertimana yang anda lihat di televisyen," kata Tuchel.

Tuchel berkata beliau tidak mengetahui perkembangan baharu berhubung cadangan pengambilalihan kelab itu sambil menambah bahawa perbincangan masih diteruskan.

Sementara itu, pengendali dari Jerman itu berkata Chelsea, yang memenangi Liga Juara-Juara musim lalu, kecewa kerana tersingkir di peringkat suku akhir tetapi mereka tetap berpuas hati dengan prestasi ketika menewaskan Real Madrid 3-2 pada aksi timbal balik.

"Dari segi keyakinan, saya fikir ia memberi rangsangan besar tetapi pastinya mengecewakan apabila teringkir di suku akhir Liga Juara-Juara.

"Kami masih mempunyai masa untuk menjalani latihan sebelum perlawanan pada Ahad. Kami akan memanfaatkannya sebaik-baiknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 7:58 AM