REAKSI Tuchel (kanan) ketika bertemu Newcastle. FOTO Reuters
REAKSI Tuchel (kanan) ketika bertemu Newcastle. FOTO Reuters
AFP

London: Thomas Tuchel menegaskan akan kekal di Chelsea 'sehingga akhir musim', tetapi bos Blues itu tidak pasti akan terus bersama kelab bermasalah berkenaan selepas itu.

Skuad kendalian Tuchel menceriakan Stamford Bridge susulan sekatan ke atas pemilik Chelsea, Roman Abramovich menerusi gol kemenangan Kai Havertz minit ke-89 untuk menewaskan Newcastle 1-0.

Abramovich dikenakan sekatan berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan jutawan itu dikatakan oleh kerajaan Britain mempunyai hubungan rapat dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Berikutan itu Chelsea tidak dapat menandatangani pemain, memperbaharui kontrak atau menjual tiket perlawanan, dengan aliran pendapatan mereka sangat terhad.

Di tengah-tengah kebimbangan Chelsea bergelut untuk bertahan melainkan pemilik baharu ditemui tidak lama lagi, terdapat laporan menyatakan Tuchel akan meninggalkan kelab itu.

"Tidak ragu-ragu lagi saya akan kekal hingga ke akhir musim. Kami hanya perlu menunggu hari demi hari kerana semuanya boleh berubah.

"Kelab ini akan dijual dan saya harap ia dapat diselesaikan. Jadi kena tunggu dari hari ke hari, di mana ia adalah cara yang bagus untuk menjalani kehidupan," kata Tuchel.

Cara Tuchel meraikan jaringan kemenangan Havertz memberi isyarat yang dia masih bersemangat untuk terus membimbing pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 11:15 AM