Penyerang Barcelona Ferran Torres menyempurnakan penalti buat pasukannya ketika seri berdepan Napoli dalam aksi Liga Europa. FOTO Reuters
Penyerang Barcelona Ferran Torres menyempurnakan penalti buat pasukannya ketika seri berdepan Napoli dalam aksi Liga Europa. FOTO Reuters
Agensi

Barcelona: Ferran Torres meledak gol menerusi penalti ketika membantu Barcelona seri 1-1 menentang Napoli pada aksi pusingan pertama kalah mati Liga Europa di Nou Camp, pagi ini.

Barca melakukan penampilan pertama mereka dalam kejohanan itu dalam tempoh hampir 18 tahun.

Kelab gergasi Sepanyol itu ketinggalan pada babak pertama menerusi jaringan Piotr Zielinski.

Namun Barcelona diberikan penalti pada babak kedua menerusi VAR selepas hantaran Adama Traore didapati terkena tangan Juan Jesus.

Torres bijak memperdayakan penjaga gol lawan, Alex Meret untuk memastikan Barca mempunyai bekalan jaringan.

Gol itu ternyata memberi kelegaan buat bekas penyerang Manchester City apabila terlepas beberapa peluang menjaringkan gol pada aksi berkenaan.

Bekas penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang beraksi agak hambar ketika dia tampil dalam kesebelasan utama buat Barcelona dan permulaan kompetitif pertamanya sejak 2 Disember lalu.

Skuad kendalian Xavi yang bersaingan di Liga Europa selepas gagal melepasi peringkat kumpulan di Liga Juara-Juara, beraksi lebih baik selepas jaringan penyamaan Torres pada minit ke-59 namun gagal memperoleh jaringan kemenangan sekalipun memberi tekanan lewat kepada lawan.

Kedua-dua pasukan akan sekali lagi mengadakan perhitungan di Itali bagi aksi timbal balik pada minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 8:43 AM