TCHECHE  diasak pemain KL City. FOTO  Ghazali Kori
TCHECHE diasak pemain KL City. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Bojan Hodak ternyata berang dengan jentera serangan dan tengah yang disifatkan menjadi punca kekalahan kepada Terengganu FC (TFC) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam tadi.

Tambah pengendali kelahiran Croatia itu yang membantu skuadnya merangkul Piala Malaysia musim lalu, kesilapan individu pemainnya serta aksi serba tidak menjadi turut menjadi faktor skuadnya terpaksa pulang tangan kosong.

"Sepanjang tempoh 60 minit, pemain kami berjaya mengekang lawan dengan baik walaupun kerap diasak, kami juga mendapat beberapa peluang menjaringkan gol, tapi menentang TFC mereka tidak banyak memberi ruang kepada kami untuk melakukan gerakan.

"Kami juga berjaya merantai pergerakan tiga pemain bahaya mereka, Kpah Sherman, Kipre Tchetche dan Faisal Halim. Bagaimanapun dua pemain tengah yang tidak sangka pula berjaya menjaringkan gol selepas dibiarkan bergerak bebas sekali gus kita dihukum dengan dua gol.

"Bagaimanapun saya tidak mahu menyalahkan pemain 100 peratus, mereka sudah berusaha, cuma nasib tidak menyebelahi kami, lagipun jaringan tuan rumah hadir lewat babak kedua, harap ianya menjadi pengajaran kepada pemain," katanya selepas berakhir pertemuan malam tadi.

Dalam perlawanan itu, dua arkitek import TFC, Habib Haroon dari Bahrain dan Manuel Ott dari Filipina masing-masing mencetak nama sebagai penjaring gol pada minit ke-75 dan 81 untuk membantu pasukannya merakam kemenangan 2-0 di depan hampir 6,000 peminat setia tuan rumah.

Ketika ditanya mengenai saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Hodak tekad untuk melakar kejutan walaupun pasukannya kali pertama beraksi di pentas berkenaan.

"Kita berpeluang melakar kejutan walaupun semua pasukan dalam kumpulan handal, beraksi di laman sendiri bakal memberi kelebihan kepada kami walaupun kali pertama beraksi berbanding pasukan dalam satu kumpulan," katanya.

Selain KL City FC, turut berada dalam Kumpulan H ialah Ayewady United dari Myanmar, PSM Makassar (Indonesia) dan Tampines Rovers (Singapura).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2022 @ 1:59 PM