SAARVINDRAN (kanan) tidak lagi bersama TFC musim depan. FOTO Ihsan TFC
SAARVINDRAN (kanan) tidak lagi bersama TFC musim depan. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Impian pemain sayap lincah, D Saarvindran untuk beraksi pada pentas Piala AFC buat kali kedua sepanjang kariernya tidak kesampaian apabila kontraknya bersama Terengganu FC (TFC) tidak disambung musim depan.

Malah bekas pemain pasukan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) musim lalu itu akui sehingga kini masih belum mendapat tawaran daripada mana-mana pasukan dalam pentas Piala Malaysia (Liga M).

Bagaimanapun pemain berusia 28 tahun itu yang berjaya membantu TFC mara ke pentas Piala AFC musim depan selepas menghuni di tangga ketiga Liga Super tetap profesional menerima berita itu walaupun baharu semusim bersama skuad Penyu itu.

Pada 2015, bekas pemain kebangsaan kelahiran Klang, Selangor itu berjaya meledak dua gol ketika membantu Pahang menundukkan kelab dari Myanmar, Yadanarbon 7-4 dalam pentas Piala AFC manakala satu gol lagi ketika menentang kelab dari Tajikistan, Istiklol FC dengan kemenangan 3-1.

"Impian saya untuk membantu TFC bersaing pada pentas Piala AFC musim depan, sekali gus kali kedua beraksi pada pentas Asia selepas mewakili Pahang, namun saya dimaklumkan kontrak tidak disambung.

"Saya pun tidak tahu kenapa tidak disambung, tapi saya terima dengan hati yang terbuka walaupun setakat ini belum lagi dilamar mana-mana pasukan yang mahukan khidmat saya musim depan.

"Harapan saya agar TFC mampu bersaing di pentas tertinggi itu bagi memperbaiki pencapaian pada 2012 layak ke pentas yang sama, terima kasih kepada pihak pengurusan yang memberi peluang kepada saya menyertai pasukan itu," katanya.

Sebelum ini Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd yang menguruskan pasukan TFC dan TFC II selepas penswastaan mengumumkan tidak menyambung kontrak lima pemain importnya musim ini termasuk kapten berdarah campuran Malaysia-England, Lee Tuck yang sah berhijrah ke Pahang musim depan.

Turut tidak disambung dua awang import TFC II, manakala penyerangnya, Jordan Mintah dan pemain pertahanan, Argzim Redzovic dikekalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 1:34 PM