ANTHONY Martial. FOTO AFP
ANTHONY Martial. FOTO AFP
Reuters

London: Anthony Martial menafikan enggan berada dalam skuad Manchester United untuk perlawanan Liga Perdana menentang Aston Villa selepas pengurus sementara, Ralf Rangnick berkata bintang Perancis itu tidak mahu terbabit dengan perlawanan berkenaan.

Penyerang berusia 26 tahun itu hanya disenaraikan dalam kesebelasan utama dalam dua perlawanan musim ini dan tidak pernah beraksi sejak United melakar kemenangan 3-2 ke atas Arsenal, 2 Disember tahun lalu.

Wakil Martial berkata, pemain itu mahu berhijrah pada bulan ini bagi membolehkannya memperoleh peluang lebih banyak beraksi.

United kekurangan pemain berikutan kecederaan, Covid-19 dan komitmen di Piala Negara-Negara Afrika tetapi Martial tetap tiada dalam pasukan ketika seri 2-2 dengan Villa.

"Saya tidak akan pernah menolak untuk beraksi bersama Man United.

"Saya berada di sini selama tujuh tahun dan tidak pernah tidak menghormati atau tidak akan pernah tidak menghormati kelab dan peminat," kata Martial di Instagram.

Martial menandatangani kontrak baharu pada Januari 2019 yang akan berakhir 2024.

Dia sudah menjaringkan 79 gol sepanjang 268 perlawanan bersama United.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 11:47 AM