ANTHONY MARTIAL
ANTHONY MARTIAL
Reuters

PEMAIN sayap Manchester United, Anthony Martial mahu meninggalkan pasukan itu selepas rundingan mengenai kontraknya menemui jalan buntu, menurut ejen pemain itu, Philippe Lamboley.

Martial, 22, masih memiliki tempoh setahun dalam kontraknya ketika ini namun tiada perkembangan membabitkan perbincangan mengenai kontrak baharunya bersama pasukan itu.

“Selepas memikirkan mengenai beberapa kemungkinan dan senario, Anthony mahu meninggalkan Manchester United,” kata Lamboley.

“Saya berpendapat apabila kelab terhebat di dunia, Manchester United tidak mendapat sebarang persetujuan dalam tempoh lapan bulan, ia disebabkan mereka tidak mahu menjadikan Anthony sebagai pemain yang penting dalam pasukan itu.”

Bagaimanapun, Lamboley mengakui keputusan masih terletak di tangan United.

“Harus diingat, dia masih lagi memiliki kontrak jadi United boleh memutuskan mengenai masa depannya dan kami akan menghormati apa sahaja keputusan mereka.”

Martial yang sekadar beraksi 18 kali dalam kesebelasan utama bagi saingan liga musim lalu tidak dipilih Didier Deschamps dalam skuad Piala Dunia Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 7:05 PM