MARTIAL bergambar sejurus tiba di Lapangan Terbang Seville.
MARTIAL bergambar sejurus tiba di Lapangan Terbang Seville.
Reuters

Madrid: Sevilla mengesahkan kontrak pinjaman dengan penyerang Manchester United, Anthony Martial untuk baki saingan musim ini selepas pemain Perancis itu mencapai hasratnya meninggalkan Old Trafford.

"Sevilla FC dan Manchester United FC mencapai persetujuan yang menyaksikan Anthony Martial menyertai kelab secara pinjaman sehingga tamat musim ini," menurut kenyataan kelab LaLiga itu awal pagi tadi.

Pemain berusia 26 tahun itu hanya dua kali membarisi skuad utama dalam aksi liga musim ini dengan penampilan terakhirnya menjadi pemain gantian ketika menewaskan West Ham United 1-0 minggu lalu.

Martial menyertai United pada musim 2015/16 dan meledak 79 gol dalam 269 perlawanan tetapi kerap tersisih musim ini.

Pengurus sementara United, Ralf Rangnick memuji kesungguhan Martial ketika menentang Hammers walaupun penyerang itu berhasrat meninggalkan kelab.

"Saya tahu dia pemain berkualiti, salah seorang penyerang terbaik Liga Perdana tetapi kami mempunyai pemain lain di posisi itu," kata Rangnick.

"Itu hasratnya untuk berpindah tetapi seperti saya katakan, selalunya sukar untuk mencapai persetujuan bersama."

Sevilla kini berada di tangga kedua LaLiga, empat mata di belakang pendahulu Real Madrid dan 11 mata di depan Barcelona.

Mereka berharap Martial dapat membantu kelab meraih gelaran pertama liga sejak musim 1945-46.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 7:55 AM