DE Bruyne (kanan) melepaskan rembatan lencong untuk memberikan jaringan kemenangan buat City. FOTO AFP
DE Bruyne (kanan) melepaskan rembatan lencong untuk memberikan jaringan kemenangan buat City. FOTO AFP
AFP

Manchester: Manchester City terus memperkukuhkan kedudukan untuk mengekalkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas Kevin De Bruyne meledakkan gol kemenangan ketika mereka mengalahkan Chelsea 1-0 sebentar tadi seterusnya unggul dengan kelebihan 13 mata di puncak liga.

Pemain antarabangsa Belgium itu meledak jaringan 20 minit sebelum perlawanan tamat apabila melakukan rembatan lencong dari luar petak penalti untuk membantu City mencatat kemenangan liga kali ke-12 berturut-turut.

Chelsea sebelum ini berjaya menumpaskan pasukan bimbingan Pep Guardiola dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara musim lalu namun sekarang mereka hanya mencatat satu kemenangan daripada enam perlawanan liga.

Kemenangan itu amat penting buat City dalam mengukuhkan cengkaman mereka untuk mempertahankan kejuaraan dengan Liverpool yang akan menentang Brentford esok pula ketinggalan 14 mata tetapi mempunyai dua perlawanan dalam tangan.

Kepa sebelum itu menafikan percubaan Jack Grealish untuk gol pembukaan tuan rumah pada babak pertama.

Peluang terbaik Chelsea pula hadir menerusi Romelu Lukaku namun diselamatkan Ederson

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 10:56 PM