PEMAIN Chelsea gembira selepas memulakan kempen musim baru dengan memenangi Piala Super UEFA selepas menumpaskan Villarreal menerusi penentuan penalti. FOTO AFP
PEMAIN Chelsea gembira selepas memulakan kempen musim baru dengan memenangi Piala Super UEFA selepas menumpaskan Villarreal menerusi penentuan penalti. FOTO AFP
AFP

Belfast: Kepa Arrizabalaga muncul wira untuk membantu Chelsea memulakan musim baru dengan menumpaskan Villarreal 6-5 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam saingan Piala Super UEFA di Belfast pagi tadi.

Pemain kelahiran Sepanyol itu, yang kehilangan tempat dalam kesebelasan utama sejak menyertai kelab berkenaan dengan mencatatkan rekod penjaga gol termahal dunia pada 2018, dimasukkan pada hujung masa tambahan oleh Thomas Tuchel bagi membolehkannya beraksi di penentuan penalti.

Arrizabalaga terkenal dengan insiden enggan dikeluarkan ketika Chelsea dibimbing Maurizio Sarri dalam perlawanan akhir Piala Liga ketika tumpas kepada Manchester City dua tahun lalu.

Bagaimanapun, kali ini dia membalas kepercayaan jurulatihnya dengan menyelamatkan sepakan Aissa Mandi dan Raul Albiol.

"Ia bukan tindakan spontan. Kami berbincang mengenai perkara ini dengan penjaga gol selepas perlawanan pertama Piala FA menentang Barnsley.

"Kepa mempunyai peratusan lebih baik dalam menyelamatkan sepakan penalti, pakar analisis dan jurulatih penjaga gol menunjukkan saya data berkenaan. Kami bercakap dengan pemain bahawa perkara ini akan berlaku ketika saingan kalah mati. Ia sangat luar biasa apabila Edouard (Mendy) menerimanya.

"Ia membuktikan bahawa Kepa lebih baik dalam penentuan penalti. Mereka adalah pemain yang mampu beraksi dalam satu pasukan. Edouard tidak menunjukkan perasaan bangga tidak mahu keluar padang. Dia gembira melakukannya untuk pasukan," kata Tuchel.

Chelsea mengalahkan Manchester City di Porto untuk merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara buat kali kedua Mei lalu selepas Tuchel baru lima bulan membimbing pasukan.

Hakim Ziyech meneruskan aksi mantap di pramusim dengan meledak gol pembukaan dalam saingan kompetitif.

Dia berjaya menyudahkan hantaran lintang rendah pemain Jerman, Kai Havertz namun terpaksa dikeluarkan sebelum separuh masa kedua bermula selepas mengalami kecederaan bahu.

Pada separuh masa kedua Villarreal yang muncul juara Liga Europa musim lalu selepas mengalahkan Manchester United menerusi penentuan penalti memperoleh gol penyamaan hasil jaringan Alberto Moreno.

Moreno melakukan hantaran satu dua dengan Boulaye Dia sebelum melepaskan rembatan menewaskan Mendy.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 8:35 AM