Ahmet Calik. FOTO Agensi
Ahmet Calik. FOTO Agensi
Agensi

Ankara: Bekas pemain pertahanan Turki dan Galatasaray, Ahmet Calik, 27, meninggal dunia dalam kejadian kemalangan ngeri membabit kereta yang dipandu.

Berita kematiannya diumumkan kelab Liga Super negara itu, Konyaspor yang juga pasukan diwakili Calik pada musim ini.

Calik menyertai Konyaspor dari Galatasaray pada 2020 dan memakai jersi nombor enam untuk pasukan liga utama negara itu.

Akhbar Hurriyet melaporkan kereta Calik terbabas dari jalan antara Ankara dan Nigde.

Media Turki menyiarkan rakaman sebuah kereta dalam keadaan remuk di tempat kejadian dan dikatakan dipandu oleh pemain itu.

Konyaspor dalam kenyataan mereka berkata, "Kami sangat sedih mendapat berita mengenai kehilangan salah seorang pemain bola sepak kami Ahmet Calik.

"Dia berjaya memikat hati peminat menerusi aksinya di atas padang sejak hari pertama menyertai Konyaspor.

"Takziah kepada semua, terutamanya keluarga Ahmet Calik."

Calik menandatangani lanjutan kontrak selama tiga tahun pada November lalu, selepas memberi impak positif sejak bersama kelab.

Galatasaray turut meluahkan kesedihan di media sosial mereka dan menyatakan ia satu berita yang amat sedih bagi seluruh peminat bola sepak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 9:18 AM