KONSEP kesederhanaan dalam Islam asas perpaduan utuh rakyat di negara ini.
KONSEP kesederhanaan dalam Islam asas perpaduan utuh rakyat di negara ini.
Dr Muhammad Rashidi Wahab

Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 yang dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama pada 2 Julai lalu, antara lain menyebutkan bahawa: (4) Ahli Sunnah Wal Jamaah ertinya mereka yang berpegang dengan al-Quran dan Sunnah iaitu; (a) dari aspek akidah mengikut pegangan Asyairah dan Maturidiyah, (b) dari aspek syariah mengikut mazhab Syafie dan mazhab muktabar lain (Hanafi, Maliki, dan Hanbali) atau ijtihad hukum jawatankuasa fatwa, (c) dari aspek tasawuf mengikut pegangan Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.

Apa yang disebutkan dalam draf RUU itu bukan suatu yang asing dalam konteks umat Islam di Malaysia. Sejarah membuktikan bahawa kedatangan Islam di rantau alam Melayu ini adalah berpaksikan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Selain catatan nama ulama/pendakwah ASWJ, penemuan kitab akidah terawal iaitu 'Aqaid al-Nasafi antara bukti konkrit yang menunjukkan bahawa ASWJ sudah lama bertapak dan menjadi pegangan umat Islam di alam Melayu. Bahkan ada banyak lagi kitab akidah lain yang semuanya berteraskan ASWJ sama ada dari aliran Asyairah mahupun Maturidiyah.

Bukan itu sahaja, sejarah turut membuktikan bahawa Raja-Raja Melayu turut berpegang dengan ASWJ. Sebagai contoh, DYMM Sultan Alauddin Sulaiman Shah (Sultan Selangor kelima) pernah menulis kitab Pohon Agama yang berisi akidah ASWJ Asyairah.

Disebabkan itu, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah al-Haj (Sultan Selangor sekarang) ketika bertitah sebagai Pengerusi MKI pada 6 Mac tahun lau menyatakan Raja-Raja Melayu sejak dahulu berpegang dengan ASWJ; dari aspek akidah adalah Asyairah, dari aspek syariah bermazhab Syafie dan dari aspek tasawuf mengikut Imam al-Ghazali.

Apabila Malaysia mencapai kemerdekaan dan Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan (Perkara 3(1)), maka negeri-negeri bertindak memperincikan peruntukan itu sebagai ASWJ sama ada melalui Undang-Undang Tubuh Negeri ataupun melalui fatwa yang diwartakan. Kelantan sebagai contohnya, dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan menetapkan bahawa "Ahlu's Sunnah wal Jamaah maknanya ialah mazhab Abu al-Hassan al-Ash'ari dan Abu Mansoor al-Maturidi dan orang yang mengikut jejak langkah keduanya."

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa MKI yang bersidang pada 5 Mei 1996, membuat beberapa ketetapan berkaitan ASWJ sebagai mazhab yang diiktiraf di Malaysia antaranya; menetapkan umat Islam di Malaysia hendaklah mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan ASWJ dari segi akidah, syariah dan akhlak, dan menyokong dan menerima cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri-negeri bagi peruntukan dengan nyata bahawa agama bagi Persekutuan dan negeri-negeri hendaklah agama Islam berasaskan pegangan ASWJ dari segi akidah, syariah dan akhlak atau tasawuf.

Pegangan ASWJ umat Islam di Malaysia ini selari dengan pegangan majoriti umat Islam di seluruh dunia. Kajian daripada The Royal Islamic Strategic Studies Centre menunjukkan bahawa 90 peratus umat Islam di dunia pada hari ini adalah berpegang dengan ASWJ Asyairah dan Maturidiyah. Malah, jika diteliti pula kenyataan ulama silam seumpama Imam Izzuddin dan Imam al-Subki menyebutkan bahawa pengikut empat mazhab adalah berpegang sama ada Asyairah atau Maturidiyah.

Maka itu, Imam al-Zabidi secara jelas menyatakan bahawa istilah ASWJ adalah merujuk kepada Asyairah dan Maturidiyah.

Pegangan terhadap ASWJ ini bukan sahaja berupaya menjaga akidah umat Islam sejak sekian lama, bahkan ia menjadikan Malaysia sebuah negara yang seragam dan kukuh dalam beragama berbanding sebilangan negara lain, seterusnya secara tidak langsung memberi sumbangan kepada kestabilan susunan politik, masyarakat dan perpaduan ummah. Ini kerana, manhaj ASWJ mempunyai pendekatan wasatiyah (sederhana/seimbang) yang terbukti berjaya dalam mendepani dua kutub ekstrem. Pendekatan wasatiyah amat penting dalam konteks Malaysia hari ini bagi menolak sebarang bentuk ideologi ekstrem.

Antara bentuk ideologi ekstrem yang mesti ditolak oleh umat Islam di Malaysia ialah penyebaran aliran menyeleweng dari ASWJ sama ada dari aspek akidah, syariah dan tasawuf. Disebabkan itu, DYMM Sultan Ibrahim (Yang Di-Pertuan Agong sekarang) selaku Sultan Johor pernah bertitah pada 26 Februari 2019 bahawa Johor mempunyai sistem pendidikan Islam yang utuh berpandukan manhaj ASWJ aliran Asyairah dan Maturidiyah. Justeru, Johor tidak perlu membawa masuk fahaman atau pegangan luar sehingga boleh menimbulkan perbalahan dan perpecahan dalam kalangan umat Islam.

Dalam hal ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI yang bersidang pada 21-22 Oktober 2014 memutuskan bahawa sebarang aliran atau fahaman yang bertentangan dengan ASWJ Asyairah dan Maturidiyah akan memberi ancaman kepada perpaduan umat Islam di Malaysia. Oleh itu, muzakarah memperakukan bahawa dari segi perundangan, ASWJ adalah mazhab rasmi negara Malaysia dan aliran lain seperti Syiah serta Salafi-Wahabi sedang memberi ancaman kepada ASWJ pada masa kini. Kedua-dua aliran pemikiran ini boleh mendatangkan perbalahan dan perpecahan kepada masyarakat Islam di Malaysia.

Kesimpulannya, RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 yang menyebutkan mengenai ASWJ adalah suatu yang sangat baik bagi memperkukuhkan ASWJ di Malaysia dan pada masa sama dapat mengekang aliran menyeleweng. Bukan itu sahaja, RUU ini juga akan membentuk tadbir urus organisasi yang lebih baik. Oleh itu, mari sama-sama kita menyokong dan berdoa supaya RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 dapat diluluskan oleh Dewan Rakyat. Perkara ini sekali gus menzahirkan bahawa ASWJ adalah pegangan umat Islam di Malaysia dahulu sehingga kini.


Penulis Ketua Pusat Pengajian Usuludin Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 6:01 AM