PEMAIN Kelantan United meraikan jaringan gol pada perlawanan Liga Perdana menentang Terengganu FC II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO GHAZALI KORI
PEMAIN Kelantan United meraikan jaringan gol pada perlawanan Liga Perdana menentang Terengganu FC II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC II (TFC II) gagal merakam kemenangan pada aksi terakhir Liga Perdana selepas tumpas 0 -1 kepada Kelantan United FC (KUFC) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Walaupun tewas, skuad kendalian Badrul Afzan Razali berjaya menamatkan saingan liga di tempat ketiga.

Bagaimanapun penyerang utama skuad itu, Jordan Mintah muncul pemenang kasut emas bersama penyerang Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Fernando Rodriguez dengan masing-masing meledak 16 gol.

Pada perlawanan itu KUFC selaku tuan rumah terlebih dahulu menguji kubu pelawat menerusi rembatan kapten, Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi pada minit kelapan, namun terkena pertahanan skuad TFC II.

Skuad The Turtles hampir di depan menerusi sepakan percuma Mintah pada minit ke-11, tapi terkena tiang gol sebelah kanan sekali gus terselamat pintu gol skuad Kijang Hijau.

Pada minit ke-19, berpunca sepakan penjuru Mohamad Amirul Shafik Che Soh, pemain pertahanan, Mohd Hakim Ismail berjaya meledak gol pendahuluan hasil kelam kabut dalam kotak penalti.

Tersentak jaringan itu, skuad The Turtles yang lebih banyak mendominasi permainan menggandakan asakan untuk memburu gol namun gagal menemui sentuhan gol.

Dua peluang terbaik yang diperolehi masing-masing menerusi tandukan Mintah pada minit ke-24 dan Che Mohd Arif Che Kamaruddin minit ke-37, juga gagal menembusi kubu gol lawan.

Bersambung babak kedua, skuad The Turtles mendapat empat peluang keemasan pada minit ke-51 menerusi Masaki Watanabe dan Mintah pada minit ke-57, 58 dan 67, namun masih buntu menembusi pintu gol tuan rumah dan kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 11:14 PM