FIKRI tidak melepaskan sebarang gol ketika Kelantan United membenam PDRM FC. FOTO Ihsan Kelantan United
FIKRI tidak melepaskan sebarang gol ketika Kelantan United membenam PDRM FC. FOTO Ihsan Kelantan United
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Penjaga gol Kelantan United Football Club (KUFC), Fikri Che Soh melaungkan tekad membantu pasukan memburu lebih banyak kemenangan dalam saingan Liga Perdana, musim ini.

Fikri yang menampilkan aksi cemerlang dalam dua perlawanan menentang Sarawak United FC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC nyata berada di kedudukan terbaik ketika ini.

Lebih membanggakan, bekas penjaga gol Kelantan FC musim lalu ini berjaya mencipta 'clean sheet' pertama ketika membenam Sang Saka Biru.

Fikri berkata, dia kini masih dalam proses pembelajaran apabila kembali berlatih bersama Ismail Chawalit dan Shahrizan Ismail sebagai jurulatih.

"InsyaAllah, pengalaman jurulatih Ismail dan Shahrizan amat diperlukan untuk membantu saya menambah baik mutu permainan.

"Saya berharap, saya mampu membantu KUFC memenangi sesuatu, musim ini," katanya.

Fikri berkata, sudah pasti, dia mahu meneruskan rentak cemerlang dalam perlawanan menentang Perak II, petang ini.

Katanya, dia tidak mahu pasukannya keciciran mata selepas mengumpul tiga mata berharga minggu lalu.

Sementara itu, Ketua Jurulatih KUFC, Akira Higashiyama berkata, dia mahu anak buahnya menampilkan aksi terbaik menentang Perak FC II pada aksi di laman sendiri.

Katanya, sedikit melegakan apabila dia mampu menurunkan kesebelasan utama yang terbaik apabila pemainnya bebas dari masalah kecederaan selain sesi latihan juga berjalan lancar meskipun jadual perlawanan hanya berselang tiga hari.

"Kami sudah melihat permainan Perak II, jadi kita harus berwaspada dengan kehadiran pelawat yang mempunyai ramai pemain muda dan semuanya bermain dengan bagus.

"Saya harap pemain kita tidak akan leka sehingga menyebabkan kita dihukum kerana objektif kita petang ini mahu mencapai kemenangan kedua mengumpul tiga mata bagi mencapai kedudukan lima terbaik liga," katanya.

KUFC akan berdepan Perak II yang kini berada berkongsi mata di kedudukan ke enam dan ketujuh liga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 3:46 PM